IPOH 9 Okt - Geran keseluruhan sebanyak RM185,000 diberikan kepada 37 penerima menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) sejak Julai lalu.
Setiap seorang menerima geran RM5,000 di bawah inisiatif Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Mereka melibatkan usahawan veteran dari Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pahang dan Perak.
PUVET ATM yang dilaksanakan menerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) memfokuskan kepada pemerkasaan veteran dalam kerjaya kedua dan keusahawanan.
Agenda ini sejajar dengan Strategi Peningkatan Taraf Sosioekonomi Veteran ATM bagi membantu veteran dalam kelompok B40 untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Sasaran Kementerian Pertahanan seterusnya adalah untuk mendaftarkan 200 usahawan veteran ATM menyertai PUVET ATM tahun depan.
Bagi memastikan manfaat program ini dapat dinikmati sepenuhnya, skop kerjasama rentas kementerian dan agensi akan diperluas bersama Kementerian Ekonomi serta beberapa agensi lain.
Ini untuk memperkasakan usahawan veteran misalnya dalam aspek pembungkusan, penjenamaan dan pemasaran.
Perhebat juga dalam proses memeterai kerjasama dengan institusi kewangan bagi menyediakan skim pembiayaan mikro dengan kadar keuntungan pembiayaan yang kompetitif.
Terdahulu, seramai 17 usahawan veteran negeri Perak menerima geran RM5,000 setiap seorang yang disampaikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini.
Dalam ucapannya, Adly berharap veteran ATM mengambil menerusi PUVET ATM dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian serta agensi lain agar dapat memajukan lagi perniagaan. - DagangNews.com