Perjanjian ekuiti DNB ditamatkan: Adakah TM tercicir daripada perlumbaan rangkaian 5G kedua? | DagangNews Skip to main content

Perjanjian ekuiti DNB ditamatkan: Adakah TM tercicir daripada perlumbaan rangkaian 5G kedua?

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Digital Nasional Berhad (DNB) mengumumkan Perjanjian Langganan Saham (SSA) Telekom Malaysia (TM) untuk memperoleh pegangan dalam DNB telah ditamatkan, dalam satu kenyataan pada lewat malam Jumaat.

 

Menurut DNB, TM telah gagal memenuhi syarat tersebut menjelang 21 Ogos 2024 selepas ia diberikan lanjutan mulai 21 Jun 2024.

 

Menurut kenyataan itu, TM meminta lanjutan tambahan sehingga 31 Disember 2024, bagaimanapun, DNB tidak dapat melanjutkan tarikh akhir itu selepas mereka berbincang mengenai permintaan itu.

 

Empat syarikat telekomunikasi yang lain – CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL telah melengkapkan SSA mereka dengan DNB pada 28 Jun 2024. Hasilnya, empat syarikat telekomunikasi itu secara kolektif memperoleh 65.1% pegangan dalam DNB (16.3% setiap satu).

 

Sementara itu, MoF mengekalkan kira-kira 34.9% kepentingan bersama-sama dengan bahagian khas untuk tempoh yang ditetapkan.

 

 

dnb

 

 

Kesemua lima syarikat telekomunikasi termasuk TM telah menandatangani SSA mereka pada 1 Disember 2023 dan rancangan asalnya adalah untuk memastikan lima syarikat telekomunikasi itu mengambil 70% pegangan terkumpul dalam DNB.

 

Setiap syarikat telekomunikasi itu telah menyuntik RM233 juta ke dalam rangkaian borong tunggal sebagai Bayaran Awal Perjanjian Akses yang akan ditukar sebagai Pendahuluan Pemegang Saham kepada DNB apabila SSA selesai.

 

Sebagai reaksi kepada pengumuman DNB, TM mengakui bahawa SSA dengan DNB telah ditamatkan selepas ia gagal membuat rayuan untuk dilanjutkan.

 

Gergasi telekomunikasi itu berkata ia meminta lebih banyak masa untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham mereka pada EGM kerana SSA merupakan transaksi pihak berkaitan. Menurutnya, masa tambahan melebihi 21 Ogos diperlukan untuk menangani perkara yang berkaitan dengan EGM.

 

TM juga berkata penamatan SSA tidak akan menjejaskan tawaran 5G semasanya kepada pelanggan. Ia masih mempunyai perjanjian akses 5G yang berterusan dengan DNB yang berasingan daripada SSA.

 

Menurutnya, TM akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong ekosistem 5G negara dan peralihan kepada Rangkaian Dwi 5G.

 

Apakah yang berlaku kepada perlumbaan rangkaian 5G kedua?

Pada masa ini, perlumbaan untuk rangkaian 5G kedua Malaysia dan TM adalah salah satu daripada empat syarikat telekomunikasi yang telah mengemukakan bidaan mereka kepada SKMM.

 

Tanpa mengambil bahagian dalam DNB, adakah TM tercicir dari perlumbaan 5G kedua? Paling penting, adakah pelan rangkaian 5G kedua akan ditangguhkan kerana peralihan dasar daripada Rangkaian Borong Tunggal kepada Rangkaian Dwi memerlukan penyertaan penuh penyedia perkhidmatan dalam DNB? - DagangNews.com