Perkeso tingkatkan lagi pegangan dalam Cypark kepada 6.22% | DagangNews Skip to main content

Perkeso tingkatkan lagi pegangan dalam Cypark kepada 6.22%

KUALA LUMPUR 10 Feb - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meningkatkan lagi pegangannya dalam Cypark Resources Bhd kepada 6.216% daripada 5.494%.

 

Agensi itu muncul sebagai pemegang saham Cypark pada 3 Februari melalui pembelian 5.94% kepentingan yang terdiri daripada 42.05 juta saham dalam urus niaga secara langsung.

 

Menurut makluman di Bursa Malaysia semalam, Perkeso kemudiannya membeli tiga blok saham berjumlah 9.11 juta di pasaran terbuka pada harga yang tidak didedahkan, meningkatkan pegangan sahamnya kepada 47.58 juta saham daripada 42.05 juta saham.

 

Syarikat itu membeli 3.585 juta saham pada 3 Februari, diikuti 1.64 juta saham pada 7 Februari dan 3.89 juta saham pada 8 Februari.

 

Sebulan yang lalu, Jakel Capital Sdn Bhd, cabang pelaburan Kumpulan Jakel, telah muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar Cypark dengan 27.33% kepentingan. 

 

BACA: UTM, Selgate, UTMH meterai MoU bangunkan hospital pakar di Johor

 

Berikutan itu, harga saham Cypark meningkat lebih dua kali ganda, mencetuskan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa oleh Bursa Malaysia.

 

Harga saham Cypark telah meningkat 131% sejak awal tahun ini. Setakat 9.55 pagi ini, harga saham Cypark kekal tidak berubah pada RM1.20 sesaham.

 

Semalam, Cypark menandatangani memorandum persefahaman dengan Selgate Healthcare Sdn Bhd. (Selgate) dan UTM Holdings Sdn Bhd (UTMH) untuk membangunkan hospital pakar swasta baharu di Johor yang dijangka mula beroperasi pada 2026.

 

Hospital pakar itu akan dibangunkan di atas tanah seluas lima hektar di Skudai, berhampiran kampus induk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. – DagangNews.com