KUALA LUMPUR 6 Julai - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yakin dapat menempatkan 180,000 pencari kerja melalui pelaksanaan beberapa inisiatif di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sehingga 31 Disember nanti.
Pada masa sama, Perkeso turut yakin dapat mengekalkan 2.5 juta pekerja dalam pekerjaan semasa.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya akan terus memperkasa program penawaran pekerjaan termasuk menambah bilangan temu duga terbuka bagi mencapai sasaran berkenaan.
"Untuk tahun ini, Perkeso telah menjalankan lebih 1,168 program temu duga dalam talian, manakala hampir 950 program temu duga lagi dijangka dilaksanakan secara dalam talian dan fizikal sehingga Disember ini.
“Tumpuan diberikan kepada temu duga secara maya sehingga temuduga fizikal dibenarkan," jelasnya seperti dilapor Bernama.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pelbagai inisiatif telah dirangka bagi separuh kedua 2021 menerusi Perkhidmatan Pekerjaan Awam Perkeso.
Inisiatif berkenaan bertujuan untuk menyediakan lebih akses kepada para pencari kerja di kawasan bandar dan luar bandar.
Menurutnya, antara program utama yang digagaskan termasuklah penubuhan Pusat Satelit MYFutureJobs di universiti-universiti serta di beberapa lokasi terpilih melalui kerjasama bersama kerajaan negeri, selain di 54 pejabat Perkeso di seluruh negara.
Selain itu, akses kepada MYFutureJobs turut diperluaskan lagi dengan usahasama Pusat Internet Komuniti di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pusat Komuniti Desa di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Menurut data terkini pasaran buruh semasa MYFutureJobs, sebanyak 231,667 kekosongan jawatan aktif di seluruh negara setakat 5 Julai 2021.
Selangor mencatatkan jumlah kekosongan jawatan tertinggi sebanyak 66,760, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 38,518.
Sementara itu, Johor turut mencatatkan jumlah kekosongan pekerjaan yang tinggi sebanyak 25,183. - DagangNews.com