Perkhidmatan awam komited dengan konsep 'neutrality' dan 'government of the day' - KSN | DagangNews Skip to main content

Perkhidmatan awam komited dengan konsep 'neutrality' dan 'government of the day' - KSN

Tan Sri Mohd Zuki Ali

Tan Sri Mohd Zuki Ali 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Anggota perkhidmatan awam bertekad untuk terus menggalas amanah yang dipertanggungjawab selain komited berpegang kepada konsep 'neutrality' dan 'government of the day' berlandaskan rule of law.

 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, tekad itu adalah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat dan negara.

 

Menurut beliau lagi, jentera kerajaan sentiasa sedaya upaya melaksanakan semua dasar yang telah diputuskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat terutama dalam tempoh yang sangat mencabar ini.

 

"Dalam mendepani situasi semasa, saya memberi jaminan bahawa Perkhidmatan Awam terutama anggota barisan hadapan sentiasa memberikan komitmen penuh dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar semasa kerajaan.

 

"Urusan pentadbiran seharian akan terus diterajui oleh Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan seperti biasa.

 

"Anggota keselamatan terutamanya PDRM dan ATM sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, segala urusan, bantuan dan inisiatif yang melibatkan peruntukan yang besar tidak akan terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat terutama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaaan (PICK).

 

Katanya, PICK adalah senjata ampuh kerajaan dalam usaha melawan pandemik COVID-19.

 

Tambah beliau lagi, perkhidmatan awam telah mengemudi pelayaran yang penuh liku dalam pelbagai konflik dan situasi yang mencabar.

 

"Layarnya perlu selari dengan tiupan bayu, dikemudi cekap dan arahnya menepati destinasi yang hendak dilabuhkan.

 

"Walau apa pun gelora dan badai yang melanda, pelayaran ini akan kami teruskan bagi melaksanakan tanggungjawab demi negara yang kita cintai ini," ujarnya. - DagangNews.com