TAIPING 17 April - Perkhidmatan bas elektrik (Bas EV) Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan beroperasi bagi tempoh percubaan selama tiga bulan bermula 1 Mei hingga 31 Julai ini.
Ia melibatkan laluan Jejak Warisan sekitar Bandar Taiping sejauh 11.5 kilometer setiap hari termasuk hujung minggu.
Pelancaran perkhidmatan Bas EV ini sebagai inisiatif untuk melonjakkan industri pelancongan di bandar warisan tersebut yang akan menyambut usia ke-150 tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Perak, Sandrea Ng berkata, sebanyak empat perjalanan disediakan pada Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi, 11 pagi, 3 petang dan 5 petang.
Katanya, kekerapan bas ditambah lima kali pada Sabtu, Ahad termasuk cuti umum atau cuti persekolahan iaitu tambahan pada pukul 1 tengah hari manakala jadual lain adalah sama.
"Setiap perjalanan mengambil masa 1 jam 21 minit dan disediakan pemandu pelancong bagi memberi penerangan tentang lokasi Jejak Warisan.
"Bermula dari Zoo Taiping & Night Safari (Zoo Taiping), bas akan berhenti rehat 10 minit di empat lokasi iaitu di Raintree Walk, Menara Jam, Casual Market dan Galeri Perbandaran Taiping.
"Perjalanan EV Bus berakhir di Burmese Pool dan penumpang akan dibawa kembali ke Zoo Taiping," ujarnya.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis perasmian Bas EV MPT di pekarangan Zoo Taiping petang tadi.
Hadir sama Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir.
Bas EV ini disumbangkan kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan tiba di Taiping pada Disember tahun lalu.
Ia mempunyai kapasiti 22 penumpang dan satu penumpang OKU yang mana projek ini merupakan inisiatif beberapa syarikat tempatan dan luar negara sejak tahun 2015.
Menurut Sandrea, tambang akan dikenakan bermula Ogos selepas tamat perkhidmatan percubaan.
Katanya, tiket bas dijual di kaunter tiket Zoo Taiping dengan harga bagi dewasa RM20 manakala RM10 untuk warga emas, kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU).
Sebagai permulaan operasi, tiket dijual pada kadar diskaun 30% sehingga 31 Disember 2023. - DagangNews.com