Perlu selesaikan kemelut Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

Perlu selesaikan kemelut Serba Dinamik

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

Sehingga tengah hari ini, saham Serba Dinamik Holdings Bhd. masih lagi mendahului kaunter paling aktif setelah 2 hari merosot apabila ia kembali memulakan dagangan pada Isnin. 

 

Ketika mengakhiri dagangan 12.30 tengah hari, sahamnya menokok 3.59% kepada 86.5 sesaham.

 

Namun, di sebalik prestasi saham yang dilihat kembali 'bersinar' ini, masih banyak lagi persoalan belum terjawab. 

 

Syarikat perkhidmatan minyak dan gas serta kejuruteraan ini menjadi tumpuan pasaran sejak seminggu lalu selepas mengumumkan hasratnya untuk menjalankan semakan khas bebas apabila Lembaga Pengarah dimaklumkan oleh juruaudit luar, KPMG terdapat masalah berkaitan audit berkanun syarikat.

 

Bagaimanapun, 2 hari kemudian, pemegang saham kedua terbesar yang juga pengarah bukan bebas bukan eksekutif, Datuk Abdul Kadier Sahib mengemukakan notis kepada syarikat untuk menggantikan KPMG dengan BDO PLT. 

 

Namun, tindakan tersebut menimbulkan kekeliruan dalam beberapa laporan media yang mana Serba Dinamik semalam menjelaskan, tindakan tersebut dimulakan oleh Abdul Kadier dan bukannya melalui syarikat atau Lembaga Pengarah. 

 

Dalam makluman berasingan di Bursa Malaysia juga semalam, Datuk Dr. Mohd. Abdul Karim Abdullah yang juga pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif kumpulan meningkatkan pegangan sahamnya dalam Serba Dinamik. 

 

Pemegang saham terbesar ini memperoleh lagi 5 juta saham menerusi pasaran terbuka pada Isnin.

 

Kini beliau memiliki 27.07% pegangan dalam Serba Dinamik, menyamai 1 bilion saham.

 

 

Mohd Abdul Karim Abdullah
Mohd. Abdul Karim Abdullah

 

 

Mohd. Abdul Karim sebelum ini menegaskan, syarikat tidak melakukan apa-apa kesalahan meskipun tindakan KPMG yang mendekati Lembaga Pengarah dilihat sebagai 'luar biasa' dan menyimpang daripada amalan audit yang biasa dijalankan.

 

Antara perkara dibangkitkan di dalam audit itu termasuklah berkaitan transaksi jualan, bayaran dan baki hutang termasuk kontrak berkaitan teknologi maklumat di luar negara yang berjumlah lebih RM3 bilion.  

 

Beliau menyifatkan lembaga pengarah tidak terlibat dalam operasi harian syarikat dan mereka tidak berupaya untuk memberi penjelasan terhadap isu-isu yang dibangkitkan KPMG. 

 

Satu lagi perkara yang turut menimbulkan persoalan ketika ini, apabila pengarah bebas Serba Dinamik memilih untuk berdiam diri. 

 

Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MIGC) dalam kenyataan semalam menyifatkan tindakan mereka yang terus membisu dan juga jawatankuasa audit akan menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai kemelut audit tersebut. 

 

Malah, MIGC menyifatkan lebih banyak penjelasan diperlukan oleh jawatankuasa audit dan cadangannya kepada Lembaga Pengarah yang mana ia sepatutnya didedahkan kepada pemegang saham ketika mesyuarat agung luar biasa (EGM). 

 

Pengarah bebas Serba Dinamik termasuklah bekas rakan kongsi KPMG Malaysia, Hasman Yusri Yusoff, bekas pengarah urusan Express Holdings Bhd., Rozilawati Basir dan juga akauntan, Sharifah Irina Syed Ahmad Razi serta peguam, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman.

 

Rozilawati dan Sharifah Irina adalah ahli jawatankuasa audit syarikat bersama Abdul Kadier Sahib dan pengarah kanan bukan eksekutif bebas, Hasman Yusri.

 

Dalam tempoh seminggu ini, agensi penarafan mula menyemak turun penilaiannya terhadap syarikat ini ekoran kemelut yang masih berpanjangan ini.

 

Pada Isnin, Malaysian Rating Corporation Bhd. meletakkan penarafan MARC-1IS /A+IS terhadap Nota Program Komersial Islamik pelbagai mata wang bernilai RM500 juta dan Nota Program  Jangka Masa Sederhana Islamik bernilai RM1.5 bilion dengan MARCWatch Negatif yang diberikan pada 11 Mei.

 

Ini kemudiannya diikuti oleh S&P Global Ratings menyemak turun penarafan kredit Serba Dinamik kepada 'B-' daripada 'B+' dan meletakkannya pada tahap kredit negatif berikutan pengumuman Serba Dinamik untuk menjalankan semakan khas bebas bagi menyelesaikan masalah audit akan merumitkan usaha syarikat untuk membiayai semula hutang hampir RM1.7 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang. 

 

Reuters pada Isnin juga melaporkan, Suruhanjaya Sekuriti telah memulakan penyiasatan terhadap Serba Dinamik setelah memperoleh dokumen dan rekod daripada syarikat itu bagi membantu siasatan. 

 

Kemelut yang melanda Serba Dinamik perlu dirungkai dengan segera, apatah lagi, nilai sahamnya menjunam lebih 48% dalam tempoh kurang daripada seminggu daripada RM1.61 pada 25 Mei kepada 83.5 sen setakat semalam. 

 

Serba Dinamik menggantung dagangan selama 2 hari mulai 27 hingga 28 Mei apabila pasaran ditutup 26 Mei sempena cuti umum Hari Wesak. Serba Dinamik kembali semula dalam pasaran pada 31 Mei. - DagangNews.com