Permintaan aluminium dijangka meningkat pada 2024, RHB Investment kekal penarafan ‘overweight’ terhadap sektor bahan binaan asas | DagangNews Skip to main content

Permintaan aluminium dijangka meningkat pada 2024, RHB Investment kekal penarafan ‘overweight’ terhadap sektor bahan binaan asas

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - RHB Investment menjangkakan permintaan aluminium meningkat pada 2024 didorong oleh sektor solar, kenderaan elektrik (EV) dan prasarana di India, China dan rantau ASEAN.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor bahan binaan asas dan berkata ia masih optimis terhadap prospek aluminium berikutan paras inventori aluminium gudang London Metal Exchange (LME) masih lagi pada kadar rendah.

 

Selain itu, firma itu berkata kekurangan bilangan kilang relau lebur aluminium yang melepaskan kandungan karbon rendah di rantau ASEAN bakal meraih kelebihan daripada ‘gerakan hijau’ menuju penggunaan panel solar dan EV.

 

Ia turut menjangkakan peningkatan semula permintaan dunia pada 2024 didorong pemulihan ekonomi di China.

 

“Dalam kalangan syarikat pengeluar simen yang ada, kami memilih Malayan Cement Berhad sebagai syarikat pilihan utama kerana pengaruhnya sebagai peneraju pasaran untuk menentukan paras harga barang selain menjadi penerima manfaat langsung daripada kegiatan pembinaan dan hartanah yang kembali hidup di Malaysia Barat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB Investment, meskipun permintaan di luar pasaran China tidak menepati jangkaan, lebih-lebih lagi kerana kegiatan pembuatan dunia yang perlahan, prospek penggunaan aluminium tetap menggalakkan di pasaran rancak India dan China.

 

Tambahnya, di negara-negara dan rantau ini, sektor suria, EV, dan prasarana dijangka terus memberikan sokongan pada perolehan.

 

Memandang ke hadapan, firma itu berkata pertumbuhan dari segi permintaan aluminium dunia dijangka mencecah 1% hingga 3% bagi tahun 2024 sehingga 2025, didorong oleh penembusan EV secara beransur-ansur dan kenaikan penggunaan aluminium dalam sektor-sektor yang bertumpu kepada aspek alam sekitar.

 

“Malahan, trajektori positif ini semakin mendapat sokongan daripada paras inventori aluminium semasa yang rendah di gudang-gudang LME dan Shanghai, menunjukkan prospek harga aluminium untuk masa akan datang adalah baik.

 

“Inventori aluminium LME sekarang berada sekitar 470,000 tan (berbanding purata 2.43 juta tan), manakala inventori Shanghai mencecah lebih kurang 120,000 tan (berbanding purata 360,000),” ulasnya.

 

RHB Investment berkata ia tetap teguh yakin pada industri simen kerana wujudnya sinergi antara sektor pembinaan dengan sektor hartanah dan menekankan lagi pendirian bahawa permintaan simen akan terus bertahan dan kembali naik dalam jangka sederhana hingga panjang berikutan pelancaran projek-projek prasarana utama di Malaysia.

 

“Kami membuat andaian rasmi bahawa permintaan simen (dari segi jumlah pengeluaran) akan berkembang sebanyak 30% hingga 35% pada tahun kewangan 2024 (FY24),” katanya.

 

Firma itu menyarankan pelabur ‘beli’ saham Press Metal Aluminium Holdings Bhd dengan harga sasaran (TP) RM5.54 sesaham, manakala Malayan Cement pada TP RM4.87.  - DagangNews.com