Permintaan farmaseutikal yang lemah berisiko buat Duopharma - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Permintaan farmaseutikal yang lemah berisiko buat Duopharma - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Permintaan farmaseutikal di peringkat domestik dan eksport yang lebih lemah selain kos input lebih tinggi mendatangkan risiko kepada penarafan Duopharma Biotech Berhad. 

 

Namun, penganalisis di CGS-CIMB Research, Syazwan Aiman Sobri menjangkakan prestasi kewangan Duopharma akan bertambah baik pada tempoh separuh kedua tahun kewangan 2021 (2HFY21). 

 

Ini dipacu oleh keyakinan pengguna yang kembali pulih menjelang pembukaan semula ekonomi, sekali gus mendorong kepada permintaan penjagaan kesihatan yang lebih baik daripada kedua-dua sektor awam dan swasta. 

 

“Dalam taklimat penganalisisnya baru-baru ini, Duopharma mendedahkan bahawa kumpulan menjangkakan jualan eksport akan pulih pada 2HFY21, di mana agak lemah pada 1HFY21 ekoran penguatkuasaan pelbagai sekatan pergerakan di pasaran eksportnya. 

 

“Antara pasaran eksport utama kumpulan pada 1HFY21 adalah Singapura, Filipina dan Timur Tenga, yang menyumbang hampir 70% kepada jumlah jualan eksport Duopharma,” ujar Syazwan Aiman dalam satu nota kajian.

 

Sebagai rekod, Duopharma mencatatkan 3.1% peningkatan dalam keuntungan bersih utamanya pada 1HFY21, dipacu oleh pertumbuhan hasil sebanyak 6.6%. 

 

Selain prospek permintaan yang lebih baik, sumbangan daripada perjanjian bekalan vaksin COVID-19 kepada Duopharma juga akan mula meraih momentum pada 2HFY21, selepas kumpulan menerima kelulusan pendaftaran bagi pembekalan vaksin Sinopharm. 

 

Tambah Syazwan Aiman, walaupun status kelulusan itu buat masa ini hanya disasarkan kepada pasaran swasta, namun kumpulan mendedahkan ia juga boleh membekalkannya kepada sektor awam, jika perlu.

 

“Sementara status kelulusan vaksin Sputnik V yang telah ditandatangani oleh Duopharma belum diumumkan, tetapi kami mendapati perjanjian bekalan itu masih utuh dan mungkin melonjakkan bekalan vaksin bagi program vaksinasi kebangsaan selepas menerima kelulusan pihak berkuasa,” katanya lanjut.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas Duopharma dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM2.30 sesaham. - DagangNews.com