Permintaan hartanah dijangka kukuh tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

Permintaan hartanah dijangka kukuh tahun hadapan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - Mah Sing Group Bhd optimis secara berhati-hati mengenai prospek hartanah dalam jangka sederhana dan panjang, dengan jangkaan permintaan kukuh terhadap hartanah berikutan demografi muda.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, kesan pandemik COVID-19 telah mempengaruhi pasaran hartanah di Malaysia sejak dua tahun lalu, yang mengakibatkan perubahan dalam corak pengguna dan cabaran baharu bagi peserta hartanah.

 

Ujarnya, permintaan sewa dijangka meningkat tahun depan berikutan pembukaan semula sempadan dengan kemasukan lebih ramai ekspatriat asing, rakan kongsi perniagaan, pelancong dan pelajar asing menyumbang kepada jumlah pertumbuhan.

 

"Pasaran hartanah nampaknya akan bangkit semula apabila kita melangkah ke 2022. Kami akan terus memastikan produk kami sejajar dengan sentimen pasaran dan memenuhi permintaan terpendam untuk rumah mampu milik.

 

"Kumpulan berhasrat untuk terus memanfaatkan kekuatan platform pasaran digital sedia ada untuk meningkatkan jualan dengan memperkemas proses dari kesedaran kepada pembayaran.

 

"Melangkah ke hadapan, kumpulan akan berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam pengurusan dan operasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam pada itu beliau berkata, Kumpulan akan terus menawarkan hartanah mampu milik dengan ciri premium di lokasi strategik menerusi projek 'M Series'.

 

"Kumpulan mahu menjadi peneraju di Malaysia bagi perumahan mampu milik dengan terus menyediakan rumah pada harga berpatutan dengan ciri premium di kawasan strategik untuk memenuhi permintaan negara yang semakin berkembang.

 

"Menerusi kempen 'reinvent affordability', Mah Sing menggalakkan pelanggan dan pemilik rumah untuk berhemah dalam pembelian hartanah dan tidak terlalu membebankan kewangan," katanya. 

 

Segmen 'M Series' menawarkan secara umumnya keluasan bermula dari 700 kaki persegi dan ke atas dengan harga jualan indikatif bermula dari RM318,000. -DagangNews.com