Permintaan kenderaan mewah terus stabil, Public Investment kekal saranan 'neutral' terhadap Sime Darby | DagangNews Skip to main content

Permintaan kenderaan mewah terus stabil, Public Investment kekal saranan 'neutral' terhadap Sime Darby

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Feb - Public Investment Bank Research mengekalkan saranan 'neutral' ke atas saham Sime Darby Berhad dengan sasaran harga tidak berubah iaitu RM2.32 sesaham namun berkeyakinan permintaan terhadap kenderaan mewah akan terus stabil terutama di China.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun jualan terjejas akibat gangguan rantaian bekalan, bekalan inventori kenderaan mungkin meningkat pada suku akan datang apabila masalah kekurangan cip kereta semakin berkurangan.

 

Sime Darby sebelum ini menghadapi masalah bekalan dalam sektor automotif seperti kekurangan cip kerana pengeluarnya di Jerman bergantung kepada cip dari Korea Selatan, Malaysia dan Taiwan untuk pembuatan kenderaan terbabit.

 

"Prospek untuk bahagian industri dilihat tidak menentu. Bagaimanapun nilai tempahan projek meningkat sebanyak 20% kepada RM3.9 bilion terutama daripada segmen barangan perlombongan di Australia yang didorong oleh harga komoditi yang kukuh.

 

"Pasaran bagi peralatan berat di China dijangka menguncup sekiranya hutang hartanah meningkat selain berdepan persaiangan daripada pengeluar tempatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Semalam kumpulan itu mengumumkan, keuntungan bersih mereka untuk Q2 FY2022 menyusut kepada RM345 juta daripada RM633 juta pada tahun kewangan sebelum ini. 

 

BACA JUGA: Keuntungan Q2 Sime Darby menyusut kepada RM345 juta daripada RM633 juta
 

Sime Darby memaklumkan bahawa pendapatan mereka menurun sebanyak 6.3% kepada RM10.54 bilion berbanding RM11.24 bilion pada tahun lalu.

 

Kumpulan itu melihat segmen kenderaan elektrik (EV) berada dalam kedudukan baik di Malaysia dan akan mempertimbangkan untuk memiliki EV pemasangan tempatan (CKD) dan menjadi antara pengendali pengecasan EV pada masa hadapan apabila tiba masa yang sesuai untuk perniagaan kumpulan itu. - DagangNews.com