Permintaan pembungkusan plastik dijangka lemah tahun ini | DagangNews Skip to main content

Permintaan pembungkusan plastik dijangka lemah tahun ini

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Permintaan untuk pembungkusan plastik dijangka lemah tahun ini, dibebani oleh jangkaan kelembapan dalam ekonomi global.

 

Walau bagaimanapun, pemain sektor terlibat akan melihat sedikit kelegaan kerana margin yang mampan dan tekanan kos yang berkurangan dapat membantu keuntungan mereka.

 

Sehubungan itu, Kenanga Research mengekalkan pandangan “neutral” terhadap sektor berkenaan.

 

Menurut firma tersebut, permintaan bagi sektor pembungkusan plastik tidak menggalakkan pada separuh pertama tahun ini disebabkan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan.

 

Selain itu, tambahnya, gangguan rantaian bekalan yang berlarutan turut menjejaskan operasi pengguna akhir. 

 

"Kami menjangkakan kadar penggunaan sederhana 50%-65% secara keseluruhan pada separuh pertama walaupun isu kekurangan buruh telah diselesaikan sebahagiannya," kata firma tersebut.

 

Menurut Kenanga Research, walaupun berdepan kelembapan ekonomi pada separuh pertama tahun ini, 

pemain pembungkusan plastik berkemungkinan akan mengekalkan margin mereka hasil daripada kedudukan berterusan syarikat ke arah produk margin lebih tinggi dan kos input resin yang semakin berkurangan.

 

Sementara itu, mengenai kenaikan tarif elektrik baru-baru ini, kesannya masih boleh diurus kerana tenaga elektrik hanya merangkumi 4% hingga 6% daraipada jumlah kos pengeluaran pemain pembungkusan plastik, kata firma tersebut.

 

Tambahnya, program seperti Tarif Elektrik Hijau Tenaga Nasional Bhd yang menawarkan pengecualian surcaj pas-lalu kos ketidakseimbangan sebanyak 20 sen setiap kilowatt-jam (kWj) melalui caj langganan sebanyak 3.7 sen setiap kWj (menghasilkan penjimatan berkesan sebanyak 16.3 sen setiap kWj), turut membantu.

 

Bagaimanapun, tawaran untuk membeli tenaga boleh diperbaharui dihadkan pada 30% daripada jumlah penggunaan elektrik, tertakluk kepada ketersediaan kuota dan hanya sah selama enam bulan berakhir 31 Jun 2023 buat masa ini.

 

Thong Guan Industries Bhd dan Scientex Bhd, antara pemain segmen pembungkusan plastik yang telah mendaftar untuk program tenaga boleh diperbaharui, kata firma itu.

 

Firma itu turut menamakan Thong Guan sebagai pilihan utama sektor tersebut. - DagangNews.com