Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Okt. - Permintaan terhadap ruang industri dan gudang di bawah kendalian Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dijangka terus stabil dan utuh pada separuh kedua 2020.
CGS-CIMB Research berkata, jangkaan positif itu dibuat meskipun keseluruhan segmen Malaysia REITs (M-REITs) melalui fasa pemulihan yang lemah untuk tempoh berkenaan.
"Walaupun tempoh pemulihan yang lemah untuk keseluruhan segmen M-REITs pada separuh kedua 2020, kami terus mengharapkan segmen logistik dan gudang tetap stabil ke tahap tertentu.
"Ia diharap menjadi lebih stabil berbanding segmen peruncitan, perhotelan dan pejabat.
"Kami jangkakan permintaan untuk ruang industri dan gudang tetap utuh pada 2H20 dan mendapat manfaat daripada gangguan rantaian bekalan yang menyebabkan peningkatan aktiviti e-dagang," kata CGS-CIMB Research.
Pendapatan REIT pada sembilan bulan pertama 2020 meningkat 3.5% berbanding tahun lalu, didorong oleh pengambilalihan dan pajakan baharu di The Axis Facility, Batu Kawan bersama Federal Express (M) Service Sdn. Bhd. pada 1 Mac.
Pertumbuhan pendapatan itu juga turut disokong oleh penjanaan semula pendapatan tempat letak kereta berikutan pengecualian sewa pada suku kedua 2020 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tambah CGS-CIMB Research, keuntungan bersih REIT pada sembilan bulan pertama 2020 secara keseluruhannya sejajar dengan 72% hingga 76% anggaran pihaknya dan Blooberg.
CGS-CIMB Research turut mengekalkan dividen sesaham (DPS) REIT bagi tahun 2020, 2021 dan 2022 dengan masing-masing sebanyak 8.3, 9.3 dan 10.7 sen yang diterjemah kepada hasil dividen sebanyak 3.9% hingga 5%.
"Kami mengekalkan saranan 'tambah' saham REIT dengan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM2.44," ujar CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com