Permintaan semikonduktor semakin meningkat, prospek industri kekal cerah - SIA | DagangNews Skip to main content

Permintaan semikonduktor semakin meningkat, prospek industri kekal cerah - SIA

KUALA LUMPUR 13 Feb - Prospek jangka panjang bagi industri cip yang kritikal adalah amat cerah, menurut Persatuan Industri Semikonduktor (SIA) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

 

Menerusi catatan blog minggu lalu, pengarah perangkaan industri dan dasar ekonomi SIA, Robert Casanova berkata, halangan makroekonomi telah mewujudkan cabaran jangka pendek yang ketara untuk industri semikonduktor.

 

Hal ini mengakibatkan pertumbuhan industri yang lebih lemah pada 2022 daripada yang dijangkakan sebelum ini.

 

Beliau berkata, pelarasan jangka pendek ini, bagaimanapun, tidak mengubah pemacu struktur pertumbuhan industri yang dijangka bangkit semula dan mendorong pertumbuhan berterusan dalam jangka panjang.

 

"Hasil bersih daripada ini adalah permintaan semikonduktor akan berkembang dalam jangka masa panjang kerana cip terus menjadikan dunia lebih pintar, cekap dan terhubung," katanya.

 

Casanova berkata, melihat turun naik permintaan jangka pendek dan arah aliran jangka panjang sepanjang dua dekad lalu, industri semikonduktor telah menunjukkan pertumbuhan yang konsisten.

 

Beliau berkata, jualan tahunan meningkat daripada AS$139 bilion pada 2001 kepada AS$573.5 bilion (RM2.5 trilion) pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 313%.

 

Dalam tempoh sama, menurutnya, jualan unit semikonduktor meningkat sebanyak 290% yang mencerminkan peningkatan permintaan semikonduktor di seluruh ekonomi.

 

“Malah, kajian 2020 oleh SIA dan Boston Consulting Group mendapati permintaan global untuk kapasiti pembuatan semikonduktor diunjurkan meningkat 56% menjelang 2030.

 

“Memandangkan trend jangka panjang ini berterusan pada tahun-tahun mendatang dan permintaan untuk cip meningkat, syarikat semikonduktor perlu melabur lebih banyak dalam penyelidikan, reka bentuk dan pembuatan.

 

"Persoalannya, bukan sama ada lebih banyak kemudahan pembuatan cip atau fabrikasi akan dibina, tetapi di mana ia akan dibina," katanya.

 

Casanova berkata, industri semikonduktor mempunyai sejarah panjang untuk pelaburan yang banyak semasa kelembapan ekonomi sebagai persediaan untuk menghadapi permintaan semula yang tidak dapat dielakkan.

 

Jelasnya, pelaburan syarikat baharu akan membawa kepada lebih banyak pengeluaran dan inovasi semikonduktor domestik yang akan membantu mengelakkan kekurangan cip pada masa akan datang dan memastikan industri itu memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada sektor seperti industri automotif, penyimpanan data dan sambungan tanpa wayar.

 

“Industri automotif, sebagai contoh, dianggarkan bertanggungjawab untuk 20% daripada permintaan cip dan industri komunikasi tanpa wayar dijangka memacu 25% pertumbuhan menjelang 2030.

 

“Pemacu pertumbuhan yang kukuh bagi sektor-sektor ini akan menjana permintaan dalam industri cip pada dekad akan datang,” katanya. – DagangNews.com