Permit import: Cari formula bukan hanya untungkan pengguna tetapi juga pengeluar tempatan, kata PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Permit import: Cari formula bukan hanya untungkan pengguna tetapi juga pengeluar tempatan, kata PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat MTEN di Putrajaya pada 15 Januari 2024. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah penting bagi kerajaan mencari satu formula yang bukan sahaja memberi keuntungan kepada pengguna tetapi juga kepada pengeluar tempatan.

 

Menurut Perdana Menteri, ia terutama dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.

 

Sehubungan itu, kata beliau, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang bermesyuarat hari ini membincangkan mengenai penambahbaikan tata kelola permit diluluskan (AP) dan permit import (IP) ke arah meningkatkan daya saing negara. 

 

"Beberapa perkara turut dipersetujui, antaranya setiap agensi kawal selia yang berkaitan diminta mengemukakan kaedah penambahbaikan kepada Jemaah Menteri bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses analisa risiko import.

 

"Ketua Audit Negara disaran untuk melaksanakan proses audit bagi sektor-sektor terpilih bagi memastikan pelaksanaan AP dan IP mencapai sasaran dan memenuhi matlamat yang telah ditetapkan," katanya dalam hantaran di Facebook beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat MTEN yang pertama tahun ini di Putrajaya.

 

Selain itu, katanya, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) diarah untuk melaksanakan kajian dan penilaian terhadap tata kelola dan pengimportan barangan halal. 

 

"Manakala, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diminta mengkaji isu berkaitan kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan," katanya.

 

 

anwar

 

 

Anwar berkata, bagi memperkukuh keberkesanan perbincangan dan keputusan, beliau bersetuju menambah ahli-ahli tetap MTEN terdiri daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

 

"Mesyuarat menilai kemajuan pelaksanaan ke atas keputusan-keputusan yang telah dibuat MTEN pada tahun lalu.

 

"Berhubung dengan pelaksanaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah saya lancarkan pada 2 Januari 2024, mesyuarat membentangkan kemajuan semasa dan memberi pandangan langkah-langkah yang perlu diambil oleh agensi berkaitan," katanya.

 

Katanya, ia terutama berkaitan keselamatan data dan kaedah untuk meningkatkan jumlah pendaftaran. - DagangNews.com