Perniagaan tersenarai HIDE bukan bermakna lebih berisiko - Samenta | DagangNews Skip to main content

Perniagaan tersenarai HIDE bukan bermakna lebih berisiko - Samenta

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) tampil menggesa kerajaan untuk memperbetulkan persepsi negatif terhadap perniagaan sekiranya tersenarai dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE).

 

Pengerusinya, Datuk William Ng meminta kerajaan untuk menjelaskan kepada orang awam bahawa perniagaan yang tersenarai dalam HIDE tidak bermakna lebih berisiko berbanding premis-premis perniagaan lain. 

 

“Ini tidak membantu apabila kerajaan mengarahkan agar semua perniagaan yang disenaraikan dalam HIDE ditutup sejak Ahad bagi tujuan pembersihan dan sanitasi. 

 

William Ng
William Ng

 

“Ini secara tidak langsung menstigmakan perniagaan-perniagaan (tersenarai), dan mereka memerlukan beberapa minggu, mungkin berbulan-bulan bagi perniagaan ini pulih berikutan publisiti negatif.

 

“Kebanyakan yang tersenarai merupakan pusat beli-belah atau kedai runcit. Memandangkan HIDE menjejaki pengunjung berdasarkan MySejahtera, walaupun pelawat yang didapati berisiko tinggi dan dihalang masuk oleh pemilik perniagaan - individu tersebut tetap akan disenaraikan,” jelas Ng dalam satu kenyataan hari ini.

 

Baca : Soalan Lazim mengenai Hotspot Identication for Dynamic Engagement (HIDE)

 

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan sistem tersebut dan melihat ini masanya untuk perniagaan mengambil tindakan bagi membetulkan keadaan sekiranya perniagaan mereka tersenarai.

 

Di sebalik sokongan persatuan terhadap sistem HIDE, Ng tetap menggesa untuk menghentikan stigma terhadap proses pelaksanaannya kerana ini didakwa tidak akan membantu pemulihan ekonomi, mahupun menurunkan jumlah kes COVID-19.

 

“Seperti mana kami menggesa kerajaan untuk menjelaskan tujuan HIDE, kami juga menggesa semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk ahli, untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam membantu Malaysia mengawal kadar jangkitan,” tambah beliau. - DagangNews.com