Perodua bekerjasama dengan firma automotif antarabangsa hasilkan EV mampu milik - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Perodua bekerjasama dengan firma automotif antarabangsa hasilkan EV mampu milik - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR 17 Jan - Perodua sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat automotif antarabangsa untuk menghasilkan prototaip kenderaan elektrik (EV), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

Menteri itu berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha pembuat kereta itu untuk menerajui pengeluaran EV mampu milik di Malaysia, seperti yang digariskan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

 

Bagaimanapun, Tengku Zafrul tidak mendedahkan nama syarikat antarabangsa yang terlibat dalam usaha itu.

 

"Pengeluaran berskala besar Perodua (EV mampu milik) dijadualkan pada penghujung 2025.

 

"Terima kasih, Perodua, kerana membantu Malaysia dalam memajukan teknologi EV dan meningkatkan mobiliti mampan di negara ini," katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.

 

November lalu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, syarikat itu menyasarkan EV dan kenderaan hibrid menyumbang sehingga 20% daripada jumlah jualan keretanya menjelang 2030.

 

Kerajaan menyasarkan untuk mempunyai 1.5 juta EV di jalan raya Malaysia menjelang 2040, jauh lebih tinggi daripada sasaran sebelumnya iaitu 90,000 unit.

 

 

zafrul
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

 

Pengecualian duti eksais dan cukai jualan untuk EV pemasangan tempatan berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2027, manakala pengecualian duti import dan eksais untuk EV yang diimport telah dilanjutkan kepada 31 Disember 2025, lapor Free Malaysia Today.

 

EV juga dikecualikan daripada cukai jalan sehingga akhir 2025. - DagangNews.com