Perodua jalankan penilaian terperinci tindakan Daihatsu gantung pengeluaran kereta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perodua jalankan penilaian terperinci tindakan Daihatsu gantung pengeluaran kereta

Ibu pejabat Perodua di Sg Choh, Rawang, Selangor.

KUALA LUMPUR 21 Dis - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) sedang melakukan penilaian terperinci mengenai pengumuman Daihatsu Motor Co Ltd (DMC) yang dikeluarkan mengenai penggantungan model-modelnya disebabkan oleh 'ketidakaturan prosedur'.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, syarikat juga sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia mengenai kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluarannya.

 

"Kami memohon maaf kepada pelanggan yang kami hargai serta orang awam di atas keresahan yang timbul daripada pengumuman ini. Niat kami adalah untuk memberi jaminan kepada pelanggan yang kami hargai.

 

"Kami akan berkongsi hasil perbincangan ini dengan semua pelanggan dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

DMC dalam satu kenyataan mengumumkan akan menangguhkan sementara penghantaran kenderaan selepas siasatan skandal penipuan menemukan masalah membabitkan 64 kenderaan.

 

Panel penyiasat bebas telah menjalankan siasatan terhadap DMC selepas pengeluar itu mengakui terdapat unsur penipuan terhadap ujian keselamatan kemalangan bagi 88,000 kereta kecil April lalu, kebanyakannya dijual di bawah Toyota.

 

Perodua turut mengeluarkan kenyataannya sebagai maklum balas kepada laporan jawatankuasa audit bebas mengenai 'ketidakaturan prosedur' yang dilakukan oleh DMC semasa menjalankan ujian keselamatan kenderaan terhadap beberapa pengeluar kenderaan (OEM).

 

 

perodua
Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad

 

 

Laporan jawatankuasa audit bebas sepertimana yang diumumkan oleh DMC menyebut: "Pemeriksaan dan ujian ini mengesahkan bahawa kesemua 174 ketidakaturan yang dikenalpasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan".

 

Menurut Toyota, antara model yang terjejas termasuklah yang dikhususkan untuk pasaran Asia Tenggara antaranya Thailand, Indonesia, Malaysia, Kemboja, dan Vietnam, diikuti negara-negara di Amerika Selatan.

 

BACA JUGA: Daihatsu akan menghentikan semua penghantaran kenderaan, skandal keselamatan kian meruncing

 

Berdasarkan dokumen yang dimuat naik oleh Daihatsu, terdapat beberapa model Perodua yang turut disenaraikan termasuklah Axia generasi pertama, Axia generasi kedua, Alza generasi kedua, Aruz, Ativa, Bezza dan Myvi, lapor Berita Harian.

 

Manakala, model Toyota untuk pasaran Malaysia yang terjejas ialah Toyota Rush, Vios, Veloz dan Yaris. - DagangNews.com