Perodua jual 20,399 unit pada April, 22% adalah Ativa | DagangNews Skip to main content

Perodua jual 20,399 unit pada April, 22% adalah Ativa

 

SHAH ALAM 4 Mei - Perodua menganggarkan jualan sebanyak 20,399 kenderaan pada April, termasuk 4,624 unit Ativa, mewakili lebih 22% daripada jumlah tersebut, sekali gus melonjakkan jumlah pendaftaran Ativa sejak pelancarannya pada 3hb Mac lalu kepada hampir 9,000 unit.

 

Permintaan bagi Perodua Ativa kekal tinggi dengan hampir 290 tempahan sehari secara purata.

 

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu yang diberikan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

 

“Tempoh menunggu Ativa kini dari dua hingga empat bulan, bergantung kepada warna dan varian yang diingini. Kami menasihatkan para pelanggan kami yang dihargai untuk bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat mengenai tempoh menunggu bagi pelbagai kombinasi varian-warna Ativa,” tambah beliau.

 

Jualan 20,399 kenderaan Perodua pada April mencatatkan penurunan sebanyak 16.5% daripada 24,431 unit pada Mac berikutan isu kekurangan cip semikonduktor yang memberi kesan negatif kepada pelbagai industri secara global.

 

“Walaupun isu kekurangan cip semikonduktor masih berlangsung secara global, Perodua berjaya menghasilkan 20,278 kenderaan pada April 2021, menjadikan jumlah pengeluaran kami setakat tahun ini sebanyak 80,661 unit,” kata Zainal.

 

Jualan April 2021 melonjakkan jumlah jualan Perodua setakat tahun ini kepada 78,304 kenderaan, mewakili peningkatan 74% berbanding jualan 45,034 unit dalam empat bulan pertama 2020 berikutan pendaftaran minimum pada April 2020 akibat Perintah Kawalan Pergerakan pertama.

 

p2
Zainal Abidin Ahmad

 

“Isu kekurangan cip merupakan keutamaan kami buat masa ini. Kami sedang mengkaji kesemua sumber yang ada untuk menanganinya, termasuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dan rakan-rakan niaga kami untuk mencari penyelesaian.

 

“Perodua tetap komited terhadap penghantaran tepat pada masanya, dibantu oleh skala ekonomi kami. Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan yang dihargai atas kesabaran mereka.

 

“Kami akan bertungkus lumus untuk menyerahkan sebanyak kenderaan yang mungkin sebelum tamatnya pengecualian cukai jualan kerajaan pada akhir-Jun ini,” tambah beliau.

 

Zainal berkata, Perodua akan mengekalkan sasaran jualan 2021 pada 240,000 unit buat masa ini. Sasaran jualan 2021 Perodua mewakili peningkatan 9% daripada 220,163 unit yang dijual pada 2020, dan dijangka membawa kepada perbelanjaan rekod sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini untuk membeli komponen tempatan.

 

Perodua juga menyasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit (+23% daripada 220,968 unit pada 2020) dan 2.4 juta pengambilan servis (+20% daripada 2 juta pengambilan servis pada 2020) bagi tahun ini. - DagangNews.com