Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Feb. - Perusahaan otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) melancarkan rangka tindakan lestari (sustainable blueprint) pertama merangkumi hampir seluruh ekosistem pembekal dan pengedar automotif Malaysia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dattuk Zainal Abidin Ahmad berkata, ia bertujuan untuk mendorong Perodua dan industri ke arah globalisasi yang lebih tinggi pada masa hadapan.
"Perodua Smart Build merupakan evolusi daripada objektif asal penubuhan Perodua dan industri automotif Malaysia, iaitu untuk mewujudkan ekosistem automotif yang mampan dan kukuh.
"Perodua Smart Build merupakan ‘Transformasi 3.0’ Perodua yang dibina berdasarkan kejayaan-kejayaan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perodua memulakan transformasi pertama pada 2011 dengan mengumumkan pembinaan ekosistem Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), penghentian aliran kecacatan, penubuhan Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd. dan meningkatkan kesedaran kualiti di Perodua.
Transformasi 2.0 memberi tumpuan kepada kepuasan pelanggan, pembangunan organisasi dan perpaduan di kalangan seluruh Kumpulan Syarikat Perodua.
Tambah Zainal, pihaknya kini berada di fasa ketiga transformasi untuk ‘membina’ Perodua dan rakan-rakan niaganya ke tahap di mana kami dapat menduduki posisi yang unik dalam industri.
Di bawah ‘Transformasi 3.0’ pula, Perodua akan bekerjasama dengan rakan-rakan niaga untuk mengurangkan jurang kualiti, kos dan penghantaran di dalam ekosistem automotif dan memastikan industri berada pada ‘saiz yang betul’.
Dalam pada itu, Perodua juga sedang bekerjasama dengan rakan-rakan niaga untuk mengenalpasti kepakaran sedia ada yang boleh dimanfaatkan di luar Malaysia.
Kakitangan Perodua kini sedang bekerjasama dengan Daihatsu Japan dalam mereka bentuk model Daihatsu, yang merupakan salah satu usaha untuk mengeksport kepakaran ke luar negara.
Perodua akan terus memanfaatkan hubungan rapat dengan Daihatsu untuk merealisasikan objektif Perodua Smart Build.
“Perodua Smart Build akan dicapai dengan bantuan pemegang saham dan rakan teknologi serta teknikal kami, Daihatsu Motor Company of Japan; dan kerajaan Malaysia yang mewujudkan ekosistem ini untuk memberi faedah kepada negara.
"Perodua Smart Build direka untuk membantu Perodua dan ekosistem automotif negara mengambil manfaat daripada Dasar Automotif Nasional dengan menjadikan industri tersebut lebih berdaya saing dan maju.
“Pelancaran Perodua Smart Build tidak bermaksud kami telah mencapai potensi penuh komponen-komponen ini, sebaliknya ia menandakan permulaan perjalanan Perodua dan rakan-rakan niaganya menuju tahap daya saing yang lebih tinggi," jelas beliau lagi. - DagangNews.com