Perodua sumbang bekalan perubatan tambahan kepada Hospital Sungai Buloh | DagangNews Skip to main content

Perodua sumbang bekalan perubatan tambahan kepada Hospital Sungai Buloh

PEGAWAI Perodua menyampaikan sumbangan alat perubatan kepada Hospital Sungai Buloh yang diwakili jururawat hospital tersebut, baru-baru ini.

 

SHAH ALAM 18 Mei - Perodua telah menyumbang bekalan perubatan tambahan bernilai RM80,000 kepada Hospital Sungai Buloh sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat kereta kompak tersebut dalam menyokong institusi awam utama di seluruh negara.

 

Bekalan perubatan itu merangkumi 5,000 pelindung muka, kerusi roda yang dilengkapi dengan tali pinggang keselamatan, kerusi tandas duduk, papan pemindahan, rel katil, kerusi pemulihan, rangka bantu berjalan, tongkat dan meja miring terapi.

 

“Bekalan yang disumbangkan adalah berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh pasukan pentadbiran hospital untuk membantu menjaga keselamatan para kakitangan dan memberi keselesaan kepada pesakit mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Sebanyak 5,000 pelindung muka yang disumbangkan oleh Perodua kepada Hospital Sungai Buloh dihasilkan oleh syarikat bersekutunya, meningkatkan jumlah pelindung muka yang telah disumbangkan oleh pengeluar kenderaan tersebut kepada pelbagai organisasi di Malaysia, kepada 35,000 unit.

 

Penerima pelindung muka adalah termasuk sekolah-sekolah, klinik-klinik, pejabat-pejabat kerajaan dan majlis tempatan serta para penjaja di kawasan sekitar.

 

Pelindung muka tersebut mempunyai bahagian pelindung tahan kabus yang diperbuat daripada polyethylene terephthalate untuk penglihatan yang optimum. Kusyen span pada bahagian dahi menghalang kemasukan titisan air manakala jalur elastik boleh dilaraskan untuk pemakaian yang selamat dan selesa.

 

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada tahun lalu, Perodua telah menyumbang 150 tilam, 200 bantal, 105 kotak air mineral, 15 kipas industri dan 300 pasang kasut getah kepada Hospital Sungai Buloh.

 

“Kami akan terus berkomunikasi dengan institusi awam utama bagi menentukan di mana Perodua boleh menyumbang secara strategik untuk membantu negara. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada wira dan wirawati negara yang berkhidmat untuk kita semua tanpa mengenal penat lelah,” kata Zainal. - DagangNews.com