Peroleh pembiayaan RM360 juta, bantu Pharmaniaga kembangkan lagi perniagaan vaksin | DagangNews Skip to main content

Peroleh pembiayaan RM360 juta, bantu Pharmaniaga kembangkan lagi perniagaan vaksin

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Nov - Pembiayaan berjumlah RM360 juta yang diluluskan Bank Islam Malaysia Bhd. membolehkan Pharmaniaga Bhd. mengembangkan perniagaan vaksin secara fill-finish sekali gus meningkatkan ekonomi tempatan dalam jangka masa panjang.

 

MIDF Research berkata, bantuan kewangan ini dilihat tepat pada masanya terutamanya ketika krisis semasa yang mana kecairan masih menjadi isu utama. 

 

Katanya, dengan pengenalan dos penggalak untuk terus mengawal penyebaran virus, Bank Islam menumpukan perhatian untuk menyokong Pharmaniaga dan Selgate Healthcare Sdn. Bhd. dalam penghantaran vaksin.

 

"Berikutan kejayaan mencapai vaksinasi lengkap sehingga 90% daripada jumlah penduduk, Pharmaniaga kini bersiap sedia meningkatkan dos penggalak kepada mana-mana individu yang berumur melebihi 18 tahun, termasuk pembelian pukal daripada klinik swasta dan hospital," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Bank Islam mengumumkan telah meluluskan kemudahan pembiayaan berjumlah RM360 juta untuk Pharmaniaga dan Selgate untuk perolehan, pengeluaran dan pengedaran vaksin COVID-19 sebagai sokongan kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

 

Pada masa ini, pendedahan Bank Islam terhadap industri penjagaan kesihatan berjumlah lebih RM250 juta.

 

Dengan memperoleh kemudahan pembiayaan itu, MIDF Research bagaimanapun tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan Pharmaniaga. 

 

"Kami berpendapat, tambahan pembiayaan bagi mengeluarkan dan mengedarkan vaksin penggalak Sinovac telah diambil kira dalam suku semasa dan tidak memberi kesan kepada pendapatan kumpulan. 

 

"Tambahan pula, faedah daripada jualan vaksin ini hanya akan lebih jelas selepas dos penggalak berjaya diedarkan kepada rakyat Malaysia," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Pharmaniaga dengan harga sasaran pada RM1. 

 

"Prospek jangka panjang syarikat kekal cerah, didorong terutamanya strategi kumpulan meningkatkan akses kepada ubat-ubatannya dan memperluaskan sumber serta kemahiran," katanya. 

 

Setakat 12.15 tengah hari ini, harga saham Pharmaniaga menokok 2 sen atau 2.44% kepada 84 sen dengan 6.98 juta saham diniagakan. - DagangNews.com