Keputusan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memuktamadkan perolehan 12 helikopter baharu sebelum akhir tahun ini adalah wajar memandangkan pasukan itu memerlukan aset-aset berkenaan.
TUDM juga telah menetapkan spesifikasi bahawa 12 buah helikopter jenis sederhana ini nanti boleh melaksanakan tugas mencari dan menyelamat tempur (CSAR) selain keupayaan utiliti.
Ini agar pesawat dapat memenuhi keperluan operasi ketenteraan selain peperangan (MOOTW) serta bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR).
Operasi CSAR memerlukan sebuah helikopter yang boleh terbang pantas, dilengkapi alatan navigasi, beroperasi pada keadaan cuaca ekstrem serta dilengkapi persenjataan.
Misi ini lebih khusus dan mencabar, misalnya menyelamatkan juruterbang atau kru TUDM yang terkandas di kawasan musuh.
Doktrin TUDM meletakkan antara keperluan helikopter bagi pasukan tersebut adalah bagi misi mencari dan menyelamat (SAR) dan CSAR, manakala peranan helikopter utiliti sepenuhnya digalas Pasukan Udara Tentera Darat.
Perolehan helikopter baharu ini telah disebut semasa pembentangan Belanjawan 2024 lalu menerusi sebahagian daripada peruntukan RM19.7 bilion yang diterima Kementerian Pertahanan (Mindef).
Penambahan helikopter ini perlu dilaksanakan bagi menampung jurang keupayaan sedia ada yang kini digalas sepenuhnya oleh 12 helikopter EC 725AP.
Sebenarnya, perolehan 12 buah helikopter baharu ini telah tertangguh lama kerana ia sepatutnya dibuat 16 tahun lalu.sebagai sebahagian daripada program penggantian helikopter Sikorsky S-61 Nuri.
Nahas helikopter Nuri yang berlaku di hutan Gunung Bunga Buah dekat Genting-Sempah, Pahang pada tahun 2007 menyebabkan kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia waktu itu memutuskan Nuri segera diganti.
Berbeza dengan Nuri, TUDM telah memilih pesawat EC725AP bukan untuk melaksanakan tugas-tugas pengangkutan kargo semata-mata tetapi bagi kesesuaian doktrin operasi TUDM termasuk dalam SAR serta CSAR.
Sebab itu, beberapa buah daripada helikopter EC 725AP TUDM itu telah dilengkapi dengan alat-alat tambahan untuk melaksanakan operasi kombat yang bersesuaian.
Cadangan TUDM untuk memperoleh sekurang-kurangnya 24 buah helikopter EC 725AP bagaimanapun tidak berlaku apabila tiada pembelian selanjutnya dilakukan.
Sehingga pada tahun 2021, kepimpinan TUDM telah mengumumkan rancangan untuk memperoleh 24 buah helikopter sederhana sebagai kesinambungan daripada perolehan lalu.
Perolehan helikopter dengan ciri-ciri CSAR tersebut akan dilakukan dalam tempoh 10 tahun bermula pada tahun 2026 merangkumi dua Rancangan Malaysia iaitu RMK-13 dan RMK-14.
Pada Februari tahun lalu, TUDM menerima empat helikopter Leonardo AW 139 secara sewaan bagi menggantikan Nuri yang ditamatkan operasi tiga tahun lalu.
Ini sebagai langkah jangka pendek bagi menggantikan Nuri yang digunakan sejak 50 tahun lalu, selain mengurangkan kebergantungan penggunaan helikopter EC 725AP.
Walaupun perolehan 12 buah helikopter baharu itu nanti dilakukan secara tender terbuka, umum bagaimana pun boleh membayangkan calon yang berada dalam pertimbangan TUDM.
Paling hampir ialah helikopter H225M Airbus, yang mana ini merupakan varian terbaharu dalam keluarga pesawat EC 725AP sedia ada TUDM dengan saiz 20 peratus lebih besar.
Firma Airbus Helicopter merupakan nama baharu bagi Eurocopter susulan penstrukturan syarikat pada tahun 2014.
Susulan penjualan helikopter EC 725AP, pihak Airbus sememangnya mengintai peluang untuk mendapatkan kontrak selanjutnya dengan TUDM sepertimana yang dirancang.
Rekod pengoperasian helikopter EC 725AP oleh TUDM juga sangat baik dengan mencatatkan jumlah jam penerbangan terkumpul tertinggi di Asia.
Juruterbang TUDM telah mencapai 2,000, 1,500, 1,000 dan 500 jam penerbangan masing-masing atas helikopter yang dikendalikan.
Keseluruhannya 12 buah helikopter EC 725AP TUDM ini telah merekodkan 20,000 jam penerbangan terkumpul.
Secara keseluruhannya pula sebanyak 125 buah helikopter EC725/H225M dioperasikan tentera seluruh dunia termasuk Brazil, Perancis, Mexico, Kuwait, Singapura dan Thailand.
Pada November lalu, keupayaan helikopter TUDM ini diuji apabila terlibat dalam latihan SAR bersama Tentera Udara Republik Singapura berhampiran Pulau Jurong, Singapura.
Tim tersebut digerakkan menggunakan helikopter EC 725AP daripada No 10 Skuadron TUDM dan H225M dari No 125 Skuadron RSAF.
Sekiranya helikopter Airbus H225M benar-benar menjadi pilihan akhir TUDM, kelebihannya ialah pada aspek selenggaraan dan kos operasi jangka panjang kerana lebih mudah menggunakan pesawat jenis sama sepertimana dimiliki.- DagangNews.com