KUALA LUMPUR 4 Nov. - Syarikat infrastuktur dan perindustrian terbesar Malaysia, UMW Holdings Bhd. dijangka mencatatkan perolehan lebih tinggi menjelang suku ketiga dan suku keempat tahun 2020.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, jangkaan itu didorong oleh peningkatan prestasi jualan kenderaaan anak syarikatnya iaitu UMW Toyota Motor (UMWT) pada Oktober.
"Keseluruhan pasaran menjangkakan sektor automotif akan pulih dan meningkat pada suku ketiga dan keempat tahun ini.
"Ia didorong oleh peningkatan jualan kenderaan UMWT sebanyak 38% pada Oktober," jelas HLIB seperti dilapor The Edge.
Prestasi suku kedua UMW akan menjadi suku terburuk yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19 yang memaksa pihak kerajaan menjalankan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Susulan itu, senario jualan kenderaan dalam tempoh berkenaan berlaku pengurangan dan meletakkan harapan yang lebih baik pada suku ketiga 2020.
Dalam analisis sama, HLIB turut menyatakan potensi untuk mendapatkan pendapatan dalam tempoh suku ketiga dan keempat oleh mana-mana syarikat automotif susulan pengecualian cukai SST.
Bagaimanapun, perkara tersebut dilihat akan memberi tahap keuntungan yang lebih rendah kepada pada suku pertama tahun berikutnya susulan persaingan daripada jenama kenderaan lain seperti Proton, Honda, Nissan, Mazda dan lain-lain.
Bagaimanapun, prestasi UMW tahun ke tahun akan tetap terjejas kerana pendapatan syarikat berkenaan turut berkait dengan segmen lain seperti peralatan, pembautan dan kejuruteraan yang dipengaruhi oleh pandemik COVID-19.
"Kami mengekalkan saranan 'pegang' saham UMW Holdings dengan harga sasaran sesaham (TP) yang tidak berubah sebanyak RM2.75.
"Kami yakin kumpulan itu masih berdepan dengan tekanan persaingan kereta import untuk jangka masa panjang," jelas HLIB lagi. - DagangNews.com