Perolehan kontrak daripada Shell dijangka menyumbang secara positif kepada Dayang | DagangNews Skip to main content

Perolehan kontrak daripada Shell dijangka menyumbang secara positif kepada Dayang

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Dayang Enterprise Holdings Bhd. memperoleh kontrak untuk menyediakan satu unit Landing Craft Tank (LCT), Dayang Cempaka daripada Sarawak Shell Bhd./Sabah Shell Petroleum Company Limited (Shell).

 

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, DESB Marine Services Sdn. Bhd., menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Nilai kontrak itu bergantung kepada arahan kerja daripada Shell bagi sepanjang tempoh kontrak dan termasuk mana-mana atau semua kerja dan perkhidmatan lain yang secara amnya berkaitan dengan skop kerja dalam kontrak ini pada jadual kadar tetap.

 

"Tempoh kontrak ini secara tentatifnya adalah mulai 26 September 2022 dengan tempoh anggaran selama 548 hari dan tambahan pilihan lanjutan selama 6 bulan," katanya.

 

Faktor risiko yang mempengaruhi kontrak itu termasuk risiko pelaksanaan seperti ketersediaan tenaga kerja mahir dan bahan mentah, perubahan harga bahan mentah, keadaan politik, ekonomi dan kawal selia.

 

Sepanjang tahun, DESB Marine telah mempamerkan rekod prestasi dan kepakarannya dalam melaksanakan projek-projek tersebut.

 

Bagaimanapun, DESB Marine hendaklah memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan keperluan kontrak," katanya.

 

Menurut Dayang, kontrak itu tidak akan memberi kesan kepada terbitan saham syarikat dan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil kumpulan sepanjang tempoh kontrak. - DagangNews.com