Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Dis - Perolehan kontrak bernilai RM75.89 juta menerusi anak syarikat Awanbiru Technology Bhd (Awantec), Awantec Systems Sdn Bhd (ASSB), dapat membantu pemulihan kewangan kumpulan dengan lebih pantas.
Penganalisis CGS-CIMB, Mohd. Shanaz Noor Azam menjangkakan kumpulan akan kembali mencatat keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.
Pada suku pertama berakhir 30 September 2021, AwanTec mencatat rugi bersih sebanyak RM1.7 juta manakala pendapatan merosot 66.87% kepada RM11.76 juta.
"Sehubungan itu, perolehan kontrak baharu ini merupakan satu kejutan positif kepada kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, kumpulan mengumumkan memperoleh kontrak tersebut membabitkan perjanjian pembekalan dan perkhidmatan dengan Pernec Integrated Network Systems Sdn. Bhd. untuk menyediakan penyelesaian Google Workspace bagi tempoh mulai 25 November 2021 hingga 13 Februari 2024.
Di bawah perjanjian itu, ASSB akan turut melaksanakan, menggunakan dan menyediakan perkhidmatan sokongan untuk perkhidmatan komunikasi dan kerjasama disatukan yang diuruskan oleh Pernec.
Pernec adalah syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di Malaysia pada 29 Januari 1997, menyediakan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi, penyelesaian rangkaian dan aktiviti berkaitan.
Mohd. Shanaz berkata, Pernec juga difahamkan mempunyai pilihan untuk melanjutkan tempoh kontrak tersebut bagi tempoh 2 tahun lagi selepas Februari 2024.
Tambahnya, ini adalah kali kedua AwanTec memperoleh kontrak berkaitan infrastruktur penyelesaian awan diperoleh AwanTec, berikutan perolehan kontrak sulungnya pada Julai lalu bagi tempoh 3 tahun untuk membekalkan perisian G-Suite Enterprise untuk sekolah awam di bawah Kementerian Pendidikan bernilai RM22.8 juta.
"Oleh itu, kami menyemak naik unjuran pendapatan dan jualan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24.
"Kami berpendapat, kepelbagaian AwanTec dalam penawaran perkhidmatan berasaskan awan semakin menunjukkan trajektori yang baik," katanya.
Ini membolehkan firma itu menyemak naik penarafan saham AwanTec kepada 'pegang' berbanding 'kurang' sebelum ini. Harga sasaran juga dinaikkan kepada 74 sen daripada 62 sen.
Mohd. Shanaz melihat kadar pengambilan bagi perkhidmatan awan dan pampasan berkaitan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) daripada kerajaan sebagai pemangkin yang berpotensi.
"Sementara itu, dengan tiadanya pampasan daripada kerajaan disebabkan pembatalan projek SKIN dan kelewatan migrasi awan untuk sektor awan merupakan risiko penurunan utama kepada AwanTec," jelasnya. - DagangNews.com