Perolehan Sime Darby meningkat kepada RM11 bilion | DagangNews Skip to main content

Perolehan Sime Darby meningkat kepada RM11 bilion

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mei - Prestasi kukuh menerusi segmen permotoran terutama di China melonjakkan keuntungan bersih Sime Darby Bhd. bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2021. 

 

Ia menyaksikan kumpulan merekodkan untung bersih berjumlah RM300 juta, meningkat lebih sekali ganda berbanding RM115 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Secara keseluruhan, perolehan bagi suku tersebut meningkat 31% kepada RM11 bilion berbanding RM8.43 bilion tahun lalu. 

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Mac 2021, untung bersih Sime Darby melonjak 89% kepada RM1.21 bilion berbanding RM643 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala perolehan menokok RM33.44 bilion daripada RM28.11 bilion. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, segmen permotoran mencatat prestasi cemerlang pada suku ketiga didorong terutamanya menerusi permintaan kereta mewah bagi pasaran utama di China dan Australasia.

 

Katanya, akibat sekatan pergerakan, ia telah mengubah perbelanjaan domestik kepada barang-barang mewah yang secara tidak langsung memanfaatkan perniagaan kumpulan. 

 

"Bagaimanapun, kami dapati permintaan bagi peralatan dan alat ganti untuk segmen perindustrian di Australia agak lemah," katanya hari ini. 

 

Dalam usaha mengembangkan perniagaan dalam sektor penjagaan kesihatan, Sime Darby melalui syarikat usaha sama, Ramsay Sime Darby Health Care telah memuktamadkan pengambilalihan Manipal Hospital di Klang, Selangor.

 

Selain itu, katanya, kumpulan juga mencapai persetujuan bagi penjualan kepentingan dalam Eastern & Oriental Berhad sejajar dengan pelan rasionalisasi aset bukan teras. 

 

"Ini membolehkan kami memberi fokus kepada segmen perniagaan utama dan meningkatkan nilai maksimum kepada pihak berkepentingan," tambahnya. - DagangNews.com