Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 24 Dis - Persatuan Bulan Sabit Merah Iran bersedia menghantar sejumlah pasukan khas untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Malaysia.
Presiden Presatuan Bulan Sabit Merah Iran, Dr. Pir Hossein Kolivand berkata, pihaknya bersimpati dengan musibah yang menimpa Malaysia dan bersedia untuk menghantar pasukan mencari dan menyelamat dan pasukan perubatan sekiranya diperlukan.
"Kami bersedih apabila mendengar berlakunya banjir besar di Malaysia pada 17 Disember 2021 yang meragut nyawa dan memusnahkan harta benda termasuk kediaman.
"Dalam situasi ini kami bersimpati dengan musibah yang berlaku dan berharap dapat membantu penduduk Malaysia sekiranya khidmat kami dperlukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, banjir yang melanda negara, setakat pagi ini, menyaksikan penurunan jumlah mangsa di Selangor, Kelantan, Pahang dan Melaka.
Sementara di Negeri Sembilan, merekodkan sedikit peningkatan manakala di Perak pula jumlah mangsa kekal.
Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 56,904 jumlah mangsa direkodkan di seluruh negara dan terdapat 363 PPS dibuka setakat pukul 9 pagi ini. - DagangNews.com