Persatuan Takaful Malaysia lantik Mohd Radzuan sebagai CEO baharu | DagangNews Skip to main content

Persatuan Takaful Malaysia lantik Mohd Radzuan sebagai CEO baharu

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Jan - Persatuan Takaful Malaysia (MTA) mengumumkan pelantikan Mohd Radzuan Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa 1 Januari 2022. 

 

Pengerusi MTA Elmie Aman Najas berkata, Radzuan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri dengan pelbagai kepakaran termasuk dalam takaful dan takaful semula, insurans dan insurans semula, pembrokeran, perundingan dan pelarasan. 

 

Katanya, sebelum menyertai MTA, beliau memegang beberapa jawatan pengurusan kanan dalam pelbagai syarikat insurans dan takaful.

 

"Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Risiko, Integriti dan Pematuhan Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan pernah menerima Anugerah Ikon Risiko untuk sumbangan cemerlang dalam bidang Pengurusan Risiko Perusahaan. 

 

"Baliau juga merupakan Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam (CPIF), Rakan Bersekutu Institut Pengurusan Risiko (AIRM, UK), Pensijilan Profesional Risiko Perusahaan (IERP), dan merupakan alumni Glasgow Caledonian University (GCU) di Scotland. 

 

“Radzuan membawa kemahiran kepimpinan, pengurusan, operasi dan keusahawanan yang kukuh ditambah dengan pengalaman tempatan dan antarabangsa. 

 

"Beliau berada pada kedudukan yang baik untuk memacu organisasi dalam menerajui transformasi industri Takaful, terutamanya dalam aspirasinya untuk mencapai landskap Takaful baharu seperti yang digariskan dalam Rangka Kerja Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) yang dilancarkan pada Jun 2021," katanya.

 

Persatuan Takaful Malaysia (MTA) telah ditubuhkan pada November 2002 di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan merupakan persatuan perdagangan yang mewakili kesemua 18 pengendali Takaful dan Takaful Semula berlesen di negara ini. 

 

Objektif dan kuasa MTA adalah untuk menggalakkan kepentingan ahli-ahlinya dan untuk menerapkan pelaksanaan kawal selia kendiri dalam industri Takaful.

 

Misi MTA adalah untuk menyediakan kepimpinan dan penyelarasan untuk mempromosi dan membangunkan industri takaful ke peringkat seterusnya dan mewakili ahlinya dalam penglibatan dengan Kerajaan, pengawal selia dan pihak berkuasa awam yang lain, di peringkat tempatan dan antarabangsa untuk memberi manfaat kepada industri secara keseluruhan.  -DagangNews.com