Persidangan Eksekutif Halal Kebangsaan sasar penyertaan 300 peserta | DagangNews Skip to main content

Persidangan Eksekutif Halal Kebangsaan sasar penyertaan 300 peserta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Nov - Persidangan Eksekutif Halal Kebangsaan 2022 (PEH22) yang akan diadakan di Pusat Konvesyen Bangi Avenue, Bangi pada 29 hingga 30 November ini menyasarkan penyertaan seramai 300 eksekutif halal yang sedang berkhidmat dalam pelbagai industri termasuk dari luar negara. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, persidangan peringkat nasional membabitkan eksekutif dan pengamal industri halal dari seluruh negara itu julung kali diadakan, yang merupakan platform perkongsian idea dan bertukar pandangan secara eksklusif.

 

Beliau berkata, PEH22 juga diharap memberi peluang kepada eksekutif dan pengamal industri halal mendapatkan maklumat terbaharu mengenai hala tuju serta polisi kerajaan melalui sesi perbincangan panel melibatkan pelaksana dasar, pakar pelbagai bidang berkaitan halal.  

 

"Pada masa sama, PEH22 juga membuka penyertaan kepada para pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi dalam bidang berkaitan halal dan syariah sekaligus memberi pendedahan kepada mereka mengenai peluang serta hala tuju profesion eksekutif halal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Amir Hamzah yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur berkata, PEH22 dianjurkan secara bersama oleh Kolej UNITI Port Dickson dan Pusat Kecemerlangan Halal Kolej UNITI (UHAC) selain mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, selain penglibatan syarikat-syarikat terkemuka tempatan.

 

Katanya, selain sesi taklimat dan penerangan daripada pihak berautoriti dalam pensijilan halal khususnya Sekretariat Majlis Halal Malaysia, peserta PEH22 juga berpeluang mengikuti forum membabitkan pakar-pakar bidang berkaitan halal termasuk dari Institut Pertanian Bogor (IPB) University, Jawa Barat, Indonesia. 

 

"Pada penghujung persidangan, PEH22 juga memberi peluang kepada eksekutif halal yang mengambil bahagian mengemukakan pandangan, isu dan cadangan berkaitan secara kolektif kepada penggubal dasar sekali gus memartabatkan profesion ini di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

 

 

halal
Amir Hamzah Md Isa

 

 

“Resolusi ini kemudiannya akan diserahkan secara terus kepada pihak berwajib dan kita berharap harapan eksekutif halal terbabit akan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan," katanya.

 

Yuran penyertaan persidangan selama dua hari ini adalah hanya RM1,188 bagi Pakej Premium manakala RM988 untuk Pakej Standard. 

 

 

peh

 

 

Namun untuk tempoh masa terhad sehingga 15 November 2022, peserta boleh menikmati harga promosi iaitu hanya RM988 (Pakej Premium) dan RM688 (Pakej Standard) dengan penjimatan sehingga RM300. 

 

Pendaftaran dan maklumat lanjut PEH22 boleh dibuat melalui pautan https://halalschool.onpay.my/order/form/peh22. 

 

Sebarang pertanyaan mengenai persidangan ini boleh hubungi Eksekutif Latihan dan Pentadbiran UHAC, Ahmad Amirul Azhan Ramlan di talian 017-7455303 atau Eksekutif Latihan UHAC, Muhammad Firdaus Mohd Yuzwan (019-2921802). - DagangNews.com