Pertama Digital sasar edar semula 18.2 juta syiling yang tidak digunakan | DagangNews Skip to main content

Pertama Digital sasar edar semula 18.2 juta syiling yang tidak digunakan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Pertama Digital Berhad (Pertama Digital) melalui anak syarikatnya, DAPAT Vista (M) Sdn. Bhd. menyasarkan untuk mengedar semula sehingga 18.2 juta keping syiling yang tidak digunakan setiap tahun selaras dengan peralihan negara kepada masyarakat tanpa tunai.

 

Syiling yang tidak diedarkan telah menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) membelanjakan dana tambahan untuk menempa syiling baharu untuk diedarkan ke dalam ekonomi setiap tahun. 

 

Kos berkenaan boleh dielakkan yang seterusnya akan menjejaskan baki syiling dalam edaran dan mengehadkan pendapatan boleh guna rakyat.

 

Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar berkata, pihaknya berada dalam kedudukan baik untuk memenuhi dan melengkapkan BNM dalam usaha pengitaran semula syiling mereka dengan menyediakan perkhidmatan penukaran syiling di cawangan Penukaran Syiling MyPay. 

 

"Kami boleh menarik kemasukan syiling yang tidak dalam edaran daripada orang ramai dan membenarkan mereka memindahkan nilai syiling yang ditukar terus ke dalam akaun mereka melalui perkhidmatan e-pembayaran. 

 

"Kami memacu agenda untuk pembayaran elektronik yang selanjutnya serta usaha penjimatan kos oleh BNM," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

mypay
Saify Akhtar

 

Pertama Digital membuka cawangan MyPay Coin Conversion pertamanya di Subang Parade, Subang Jaya dan lokasi baharunya yang mula beroperasi minggu ini adalah di Berjaya Times Square.

 

Cawangan Subang Parade menguruskan kutipan berjumlah RM3.6 juta dari April 2021 hingga Mac 2022 dengan 18 juta keping syiling yang mana semua denominasi berjaya diedarkan semula.

 

Pertama Digital menganggarkan penjimatan kos tahunan untuk negara sebanyak kira-kira RM128 juta boleh dicapai daripada mengedar semula syiling terbiar sedia ada yang dimiliki oleh orang ramai. 

 

Data tambahan juga mendedahkan bahawa rata-rata orang akan mempunyai syiling bernilai RM300 yang terbiar dan tidak digunakan. - DagangNews.com