Pertandingan JA Asia Pacific Company of the Year pamer kehebatan keusahawanan pelajar dari 12 negara | DagangNews Skip to main content

Pertandingan JA Asia Pacific Company of the Year pamer kehebatan keusahawanan pelajar dari 12 negara

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - Sebanyak 21 pasukan dari negara Asia Pasifik akan bersaing untuk beberapa anugerah dalam Junior Achievement (JA) Asia Pacific Company of the Year Competition yang akan diadakan dari 12 hingga 14 Mac 2024 di ibu negara.

 

JA Asia Pasifik berkata, pertandingan anjuran pihaknya dengan sokongan PMI Education Foundation (PMIEF), bertujuan mempamerkan kehebatan keusahawanan pelajar sekolah menengah dari 12 pasaran sekitar rantau ini.

 

Katanya, pertandingan itu adalah kemuncak 'JA Company Program' atau dikenali sebagai 'Young Enterprise' di Malaysia, satu inisiatif yang ditujukan kepada pelajar berumur 15 hingga 18 tahun, memberikan mereka pengalaman praktikal dalam memulakan dan menjalankan perniagaan. 

 

"Tahun ini, 21 pasukan dari negara China, Filipina, Guam, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Republik Korea, Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam akan bersaing untuk beberapa anugerah dalam pertandingan ini," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JA Asia Pasifik, Maziar Sabet berkata, rantau Asia Pasifik adalah rumah kepada lebih dari 60% belia dunia, pemacu utama ekonomi global dan pengaruh yang semakin meningkat terhadap budaya popular. 

 

"Sebagai salah satu organisasi yang terbesar dan paling berkesan di dunia dalam perkhidmatan kepada belia, JA memiliki skala, pengalaman dan semangat untuk membina masa depan yang lebih cerah bagi generasi para inovator, usahawan, dan pemimpin yang akan datang," katanya.

 

Beliau menambah, pencalonan Hadiah Keamanan Nobel pihaknya menekankan peranan JA sebagai saluran untuk keamanan dan kemakmuran. 

 

 

JA
Maziar Sabet

 

 

"Digabungkan dengan jejak global kami, usaha JA dalam keterangkuman kewangan dan literasi kewangan, keusahawanan dan kesediaan bekerja adalah penting untuk merapatkan jurang ini, mendorong 
dunia ke arah keadilan yang lebih tinggi dan akhirnya, perpaduan dan keamanan. 

 

"JA Company Program serta pertandingan tahap rantau Asia Pasifik ini memberikan peluang unik untuk impak yang mendalam," katanya.

 

Sementara itu, orang ramai dijemput ke Pameran Perdagangan JA Company of the Year pada 12 Mac 2024 di Paradigm Mall, Petaling Jaya, yang mana syarikat-syarikat pelajar sebagai peserta pertandingan itu akan mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka. 

 

 

JA

 

 

Anugerah-anugerah yang akan disampaikan dalam pertandingan 2024 JA Company of the Year ini termasuk gelaran-gelaran berprestij serantau seperti Syarikat Terbaik (Tempat Pertama, Kedua dan 
Ketiga), Anugerah Video Perniagaan Terbaik, Anugerah Produk Tahunan dan Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik. 

 

Yayasan Pendidikan PMI (PMIEF) bekerjasama dengan JA Asia Pasifik untuk membina keupayaan pengurusan projek organisasinya untuk memaksimumkan impak penyampaian program terhadap belia di rantau ini. - DagangNews.com