Pertandingan Maxis eKelas HIP tingkat kemahiran menulis, bercerita dalam Bahasa Inggeris | DagangNews Skip to main content

Pertandingan Maxis eKelas HIP tingkat kemahiran menulis, bercerita dalam Bahasa Inggeris

Calista Shannon Jaboh (kanan), pelajar dan pemenang Pertandingan HIP Storyfest menerima hadiah Maxis eKelas HIP yang disampaikan oleh Pengetua SK St. John Taee, Sarawak, James anak Mandar. 
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 13 April – Pemenang pertandingan Maxis eKelas HIP (Program Imersif Tinggi) English Storyfest membawa pulang hadiah, serta peningkatan penguasaan dan keyakinan dalam penggunaan Bahasa Inggeris.

 

Mereka juga memenangi hadiah hebat seperti telefon pintar, tablet, headphone dan barangan eksklusif eKelas. Seramai 30 pelajar telah memenangi pertandingan yang menguji kemahiran berbahasa Inggeris melalui penceritaan dan penulisan.

 

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, pertandingan eKelas HIP Storyfest adalah salah satu daripada banyak inisiatif yang ditawarkan oleh eKelas bagi mencabar pelajar untuk belajar dengan cara menarik dan menyeronokkan.

 

‘’Kami amat gembira dengan peningkatan penyertaan pelajar daripada 1,800 penyertaan semasa kami mula-mula melancarkannya pada 2019 kepada lebih daripada 3,500 pada tahun lepas.

 

‘’Kami akan terus membawa kandungan digital terbaik kepada lebih ramai pelajar melalui program eKelas kami, dan membolehkan mereka Terus Menerajui,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dilancarkan untuk semua pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5 di sekolah seluruh negara, Pertandingan Bahasa Inggeris eKelas HIP tahunan menawarkan pelajar akses kepada bimbingan maya melalui bahan kandungan, bengkel dan latihan yang bertujuan meningkatkan keyakinan mereka.

 

Abang Portal (Pengurus Komuniti) pula membantu pelajar dengan soalan dan panduan bahan kandungan.

 

Pertandingan ini mendedahkan pelajar kepada pengalaman interaktif pada masa yang sama membantu mereka menyesuaikan diri dengan norma baharu pembelajaran maya.


 

maxis 
Wan Nur Shazleen  Wan Kamaruzaman, pelajar dan pemenang Pertandingan HIP Storyfest menerima hadiah daripada Pengetua SMK Felda Sg. Koyan, Pahang, Sabri bin Che Seman disaksikan guru-guru sekolah tersebut.

 

HIP telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2016 untuk pelajar meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dengan mendedahkan mereka kepada pelbagai aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah.

 

Sejak 2019, eKelas telah diiktiraf oleh KPM di bawah HIP. Pelajar yang menyertai pertandingan tersebut boleh mengutip markah kokurikulum peringkat kebangsaan yang dimasukkan dalam sijil persekolahan mereka.

 

eKelas ialah program komuniti utama Maxis yang menyediakan akses kepada kandungan pendidikan berkualiti selaras dengan Sukatan Pelajaran Sekolah Malaysia.


 

maxis
Nur Zulaikha Bt Azharudin, pelahar SMK Bukit Gading, Selangor memenangi hadiah Pertandingan HIP Storyfest.

 

maxis
Muhammad Iswan Bin Tumin, pelajar SK Tetagas, Sabar gembira dengan hadiah HIP Storyfest yang diterimanya.

 


Menawarkan mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, pelajar didedahkan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman melalui gabungan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan serta akses kepada kandungan digital melalui portal dan aplikasi eKelas.

 

eKelas hari ini menyediakan pengalaman pembelajaran digital yang lengkap, termasuk peluang untuk pelajar mengambil bahagian dalam kempen seperti pertandingan STEM untuk pengekodan, kemahiran berfikir kreatif dan mereka bentuk, pertandingan menulis esei dan Anugerah Gemilang tahunan. – DagangNews.com