Pertumbuhan ekonomi 8.7% tahun 2022, bukti dasar ekonomi Ismail Sabri tepat, kata penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan ekonomi 8.7% tahun 2022, bukti dasar ekonomi Ismail Sabri tepat, kata penganalisis

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 10 Feb - Keupayaan Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi 8.7% bagi keseluruhan tahun 2022, didorong juga oleh dasar kewangan dan ekonomi kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjadi perdana menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

 

Penganalisis ekonomi, Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, terdapat lima faktor penyumbang yang dikaitkan dengan kejayaan ekonomi Malaysia itu, terutamanya dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan yang diterajui oleh  Ismail Sabri.

 

 

ismail sabri
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap di sidang Dewan Rakyat semasa menjadi perdana menteri.

 

 

Pertama kata beliau, memorandum persefahaman kerajaan dengan pembangkang pada 13 September 2021, menjadi faktor luar biasa mengurangkan gangguan politik, sebaliknya kedua-dua pihak bersepakat memberi tumpuan memulihkan ekonomi negara pasca-pandemik ketika itu.

 

Susulan MoU itu juga kata Wan Mohd Farid lagi, memberi keyakinan kepada pelabur berkaitan kestabilan politik yang diterjemahkan sebagai `tiada pelaksanaan dasar lintang-pukang' setiap kali kerajaan bertukar.

 

Faktor kedua ujarnya, ialah kecemerlangan kerajaan dalam melaksanakan kempen suntikan vaksin kepada hampir semua rakyat jelata di seluruh negara, yang turut dipuji oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria
   Wan Mohd Farid Wan Zakaria

 

 

Keadaan itu melonjakkan faktor ketiga, di mana kerajaan bersedia membuka perniagaan terutama kilang-kilang dan seterusnya sempadan negara untuk pelawat dan rakyat keluar masuk.

 

"Faktor keempat ialah kerajaan Ismail Sabri sentiasa mengutamakan dasar-dasar mesra pelabur, baik untuk pelabur tempatan mahu pun antarabangsa," kata beliau.

 

Wan Mohd Farid yang merupakan pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM berkata, pertumbuhan 8.7% bagi keseluruhan 2022 itu masih melebihi purata pertumbuhan jangka panjang iaitu 5.1%, didorong langkah-langkah rangsangan dan kesan asas rendah yang berkurang. 

 

"Tentu sekali pencapaian ekonomi Malaysia 2022 adalah cerminan keberkesanan dasar ekonomi pentadbiran Ismail Sabri, yang berdepan dengan pelbagai cabaran terutama COVID-19 dan usaha pemulihan pasca-pandemik yang cukup berat," katanya.

 

Malah pada Julai 2022 kata Wan Mohd Farid, Ismail Sabri mengumumkan penubuhan unit ‘MalaysiaMudah’ (#MyMudah) di semua kementerian dan agensi persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memudahkan urusan perniagaan di seluruh negara.

 

"Dasar ekonomi jelas menunjukkan kerajaan sentiasa berusaha mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan daya saing ekonomi negara serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif.

 

“Ini kerana keutamaan kerajaan adalah mewujudkan proses kawal selia dan persekitaran pematuhan lebih mudah serta mengurangkan kerenah birokrasi," kata Wan Mohd Farid. - DagangNews.com