Pertumbuhan pendapatan sektor tenaga boleh diperbaharui pada 2024 dijangka kukuh dipacu CGPP – HLIB | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pendapatan sektor tenaga boleh diperbaharui pada 2024 dijangka kukuh dipacu CGPP – HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) yang dilihat akan mencatat pertumbuhan pendapatan yang kukuh pada 2024 disokong oleh Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

Firma itu berkata ia menyukai sektor ini memanfaatkan tema berstruktur yang kukuh serta kitaran pertumbuhan pendapatan yang positif.

 

Dengan 800MW kuota CGPP telah dianugerahkan kepada 32 penerima, firma penyelidikan itu berkata ia dijangka meningkatkan buku pesanan dan memacu pertumbuhan pendapatan penggiat solar.

 

HLIB menganggarkan program CGPP secara keseluruhannya boleh menghasilkan antara RM2.7 bilion hingga RM3 bilion aliran kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) tahun depan, walaupun selepas mengambil kira harga modul solar deflasi.

 

“Kami menjangkakan Solarvest Holdings Bhd ('beli'; harga sasaran [TP]: RM1.55) akan muncul sebagai penerima manfaat terbesar dengan penglibatan aktifnya dalam 443.4MW kuota EPCC dan dianggarkan RM1 bilion hingga RM1.1 bilion (buku pesanan semasa pada RM289 juta),” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, firma itu berkata Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) akan terus menyokong pengembangan kapasiti solar di negara ini dalam jangka panjang, serta potensi untuk eksport elektrik rentas sempadan melalui pertukaran tenaga boleh diperbaharui.

 

“Dalam jangka panjang, NETR merancang untuk mengembangkan kapasiti suria dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 14% hingga 2050, mengukuhkan prospek kenaikan harga untuk penggiat solar. Namun begitu, menjelang 2024 pasaran akan menantikan pelaksanaan inisiatif yang digariskan,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu menambah bahawa untuk konteks eksport elekterik rentas sempadan, Malaysia kini sedang meneroka penyambung kedua ke Singapura dengan kapasiti 2GW (penyambung pertama 1GW).

 

“Walaupun tidak jelas apakah kadar pulangan dalaman kepada pemaju, ini akan memangkinlagi kapasiti RE,” katanya.

 

HLIB turut menyarankan pelabur ‘beli’ saham Samaiden Group Bhd dengan TP RM1.43 sesaham. - DagangNews.com