Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Prestasi pertumbuhan pendapatan syarikat telekomunikasi, Telekom Malaysia Berhad (TM) dijangka terus mengukuh
bagi tahun-tahun mendatang.
MIDF Research berkata, jangkaan itu dinilai kepada inisiatif MyDigital yang dilancarkan baru-baru ini.
"Kami berpendapat bahawa inisiatif MyDigital yang baru diumumkan akan menjadi petanda baik untuk kumpulan ini.
"Kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan kumpulan TM pada tahun-tahun akan datang yang terus mengukuh," jelas MIDF Research.
Tambah MIDF Research, perkara itu akan dapat dilihat melalui kumpulan yang menjadi penyumbang pendapatan kumpulan utama iaitu unifi, TM One dan TM Whosale.
Program rasionalisasi kos yang dijalankan oleh TM turut mendapat pujian MIDF Research.
Jelas nota kajian itu, program berkenaan telah meningkatkan keuntungan kumpulan secara signifikan selain terus mengurangkan kos untuk jangka masa akan datang.
Semalam, TM mengumumkan pertumbuhan hasil yang lebih rendah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Hasil yang direkodkan berjumlah RM10.84 bilion, susut 5.2% berbanding RM11.43 bilion pada tahun sebelumnya susulan cabaran pasaran serta penularan wabak COVID-19.
Baca: TM untung bersih RM1.02 bilion, meningkat 60%
Bagi suku keempat 2020, TM merekodkan untung bersih berjumlah RM259.44 juta berbanding kerugian bersih RM51.09 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Untuk tempoh itu juga, hasil TM susut kepada RM3.0001 bilion berbanding tempoh sama 2019, RM3.034 bilion.
Sementara itu, CGS-CIMB Research memberitahu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) syarikat tersebut pada suku keempat 2020 susut 7.2% berbanding -3.2% pada suku lalu.
Perkara tersebut sekali gus mengheret penurunan jangkaan perolahan sesaham (EPS) sebanyak 32.9% berbanding suku sebelumnya.
CGS-CIMB Research turut membuat pemotongan anggaran EBITDA bagi tahun kewangan 2021-2022 kepada 3.1% -4.6%.
Sementara itu, jangkaan EPS bagi tahun kewangan 2021-2022 turut dikurangkan kepada 8.1-8.9%.
CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' saham TM dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM6.80.
MIDF Research bagaimanapun mengubah saranan 'neutral' saham syarikat berkenaan kepada 'beli' dengan TP yang lebih tinggi iaitu RM6.91. - DagangNews.com