Pertumbuhan pendapatan Wasco dijangka kukuh pada FY23-24 dipacu segmen minyak dan gas – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pendapatan Wasco dijangka kukuh pada FY23-24 dipacu segmen minyak dan gas – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - RHB Investment menjangkakan pertumbuhan pendapatan Wasco Berhad kukuh pada tahun kewangan 2023 sehingga 2024 (FY23-24) sebanyak 29% sehingga 36% tahun ke tahun (YoY).

 

Firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan baik syarikat ini diterajui oleh pengebilan kontrak sedia ada dengan jangkaan sumbangan meningkat daripada usaha sama dan firma bersekutunya, manakala peningkatan aktiviti huluan minyak dan gas (O&G) akan membawa kepada kerja penyelenggaraan yang lebih baik dan permintaan tinggi untuk kapal.

 

“Penggearan bersih telah bertambah baik secara beransur-ansur kepada 0.76x pada tahun 2022, daripada 0.96x pada tahun 2020, berdasarkan aliran tunai operasi yang lebih kukuh,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, Wasco memiliki potensi pendapatan jangka pendek yang diterajui oleh buku pesanan dan buku tender yang kukuh, didorong permintaan kukuh untuk kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) dan projek pembangunan gas.

 

Bagi jangka panjang, RHB Investment percaya Wasco sepatutnya dapat memanfaatkan peluang daripada gelombang peralihan tenaga global, memanfaatkan keupayaan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) dan salutan paipnya.

 

Di samping itu, firma tersebut mendapati bahawa kumpulan itu memiliki prospek cerah dan buku pesanan kukuh pada RM3.5 bilion setakat suku pertama tahun ini, di mana RM2.5 bilion daripadanya berkaitan dengan segmen O&G, manakala buku tendernya kini bernilai kira-kira RM5 bilion.

 

“Dengan gas menjadi sumber tenaga utama, kami percaya Wasco berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang yang semakin meningkat daripada projek pembangunan gas di seluruh dunia.

 

“Tahun ini, Wasco menyasarkan untuk mencapai kadar penambahan pekerjaan yang lebih kukuh pada separuh kedua 2023 (2H23, dengan beberapa projek yang lebih kecil akan diperolehi. Oleh itu, kami berpendapat ia akan dapat mengekalkan nilai buku pesanannya melebihi RM3 bilion menjelang akhir tahun,” tambahnya.

 

RHB Investment berkata kumpulan itu turut mengintai peluang kerja salutan paip untuk projek karbon, tangkapan dan penyimpanan (CCS).

 

Jelasnya, pihak pengurusan berkata terdapat kira-kira 4,100km dalam projek penangkapan dan penyimpanan karbon yang dirancang antara 2023 dan 2027, yang boleh diterjemahkan kepada anggaran peluang pekerjaan salutan paip bernilai AS$1 bilion (RM4.55 bilion).

 

RHB Investment menilai saham Wasco dengan nilai saksama RM1.37 sesaham berdasarkan harga-kepada-pendapatan (P/E) FY24 10x , yang disifatkan di bawah min lima tahun sebanyak 11x.

 

Pada waktu penulisan, saham Wasco susut 0.5 sen atau 0.5% kepada 94 sen, memberikannya modal pasaran sebanyak RM728.4 juta. - DagangNews.com