KUALA LUMPUR 18 Mac - Platform sewaan kediaman tanpa deposit untuk penyewa, SPEEDHOME melaporkan pertumbuhan permintaan penyewa kukuh pada 8.54%, menurut Laporan Trend Permintaan dan Pembekalan Sewa Lembah Klang mereka baru-baru ini.
Pembukaan semula sektor ekonomi terutamanya memacu pertumbuhan kukuh apabila kawasan di Lembah Klang berkembang dalam Pelan Pemulihan Negara.
Ketua Pegawai Eksekutif SPEEDHOME, Wong Whei Meng berkata, separuh kedua tahun 2021 adalah tempoh yang menguntungkan untuk mereka.
"Kami melihat trend peningkatan dalam keseluruhan permintaan sewa dan transaksi dalam SPEEDHOME. Hal ini kebanyakannya didorong oleh penduduk luar Lembah Klang yang kembali semula ke bandar ini selaras dengan pengenalan kerja hibrid dan pembukaan semula universiti.
“Dengan kadar pengangguran negara menurun pada separuh kedua 2021 dan pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi, kami menjangkakan untuk melihat aliran peningkatan dalam permintaan sewa ini akan berterusan untuk beberapa bulan yang akan datang.
"Bagaimanapun, disebabkan lebihan bekalan yang banyak bagi unit bertingkat di Lembah Klang, orang ramai boleh menjangkakan kenaikan harga sewa yang lebih perlahan di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, laporan tersebut juga menunjukkan beberapa kawasan dengan hasil sewa tertinggi masih didominasi oleh kawasan seperti Damansara, Batu Caves, dan Shah Alam dengan hasil sewa antara 4.27% hingga 4.8%.
Walaupun pertumbuhan permintaan penyewa kukuh di kawasan lain, laporan itu juga menekankan bahawa Shah Alam, yang secara konsistennya kekal di tiga kawasan permintaan teratas selama setengah tahun, jatuh ke nombor 6 pada separuh kedua 2021 akibat bencana banjir.
Bagaimanapun, penurunan sementara ini diramalkan pulih dalam beberapa bulan akan datang dan stabil menjelang separuh pertama 2022.
Manakala bagi kawasan Brickfields dan Petaling Jaya pula, mereka terus mendahului senarai kawasan bekalan kediaman sewa yang tertinggi. Bagaimanapun, permintaan penyewa yang kukuh telah membantu mengurangkan kesan ini terhadap harga sewa.
Laporan itu juga menunjukkan jurang jangkaan sewa yang positif dengan harga permintaan sewa oleh tuan rumah adalah lebih rendah daripada bajet penyewa di beberapa kawasan pada separuh kedua 2021. Secara keseluruhan, harga median sewaan mampu milik di Lembah Klang adalah RM1,375.
Whei Meng berkata, pihaknya melihat sedikit peningkatan dalam pasaran sewa Lembah Klang, tetapi pasaran ini masih dalam peringkat pemulihan.
"Dengan pembukaan semula sempadan pada 1 April ini, ianya akan mendorong permintaan yang lebih tinggi bagi pasaran pertengahan hingga pasaran mewah,” katanya.
Secara keseluruhannya, SPEEDHOME amat optimis mengenai pasaran sewaan di Lembah Klang untuk beberapa bulan akan datang. Sejajar dengan pengambilan pekerja baru dan peluang pekerjaan yang lebih tinggi, pasaran sewa masih kekal dalam keadaan yang sangat aktif. - DagangNews.com