Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Julai - Tidak mustahil jumlah bekalan sarung tangan getah global akan melebihi permintaan memandangkan pemain industri sedia ada giat meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka, ditambah dengan kemasukan syarikat-syarikat baharu ke dalam sektor itu.
Walaupun kajian kes CGS-CIMB Research menunjukkan situasi itu mustahil berlaku sekitar dua hingga tiga tahun akan datang, namun bekalan sarung tangan getah mungkin melebihi permintaan global pada tahun 2024.
Ini sekiranya kapasiti sektor terus berkembang melebihi 20% setiap tahun, permintaan sarung tangan menurun bawah 10% setiap tahun dan penguasaan pasaran tujuh syarikat pengeluar utama dunia berada pada kadar 60% atau kurang daripada itu.
“Susulan permintaan sarung tangan global melonjak akibat COVID-19, pengeluar sarung tangan di bawah liputan kami dengan agresif meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka, kami jangkakan bakal meningkat 60.5% pada penghujung 2023 daripada 201.2 bilion unit ketika ini.
“Tujuh syarikat tersenarai sarung tangan getah utama dunia akan meningkatkan kapasiti mereka sebanyak 96.1% pada penghujung 2023. Setakat penghujung 2020, kami menganggarkan tujuh syarikat itu menyumbang kepada 55% daripada jumlah bekalan sarung tangan dunia.
“Berdasarkan analisis kami, pelan pengembangan yang agresif oleh tujuh syarikat sarung tangan itu dijangka melonjakkan bekalan sarung tangan dengan ketara pada beberapa tahun akan datang. Analisis kami menunjukkan situasi lebihan bekalan berpotensi berlaku pada tahun 2023,” jelas CGS-CIMB dalam satu nota kajian.
Pada tahun 2020, sektor sarung tangan antara saham berprestasi paling baik dalam pasaran saham Malaysia, dengan jumlah modal pasaran untuk empat pemain industri utama di dalam negara melompat 213% kepada RM118 bilion pada penghujung tahun berkenaan.
Ini menjangkaui prestasi KLCI yang mencatatkan 3% pulangan pada tempoh sama, di mana didorong oleh minat yang tinggi dalam kalangan pelabur.
Bagaimanapun, sejak awal tahun 2021 hingga setakat ini, nilai pasaran mereka menyusut sebanyak 28.2%, mungkin disebabkan oleh kebimbangan terhadap potensi penurunan keuntungan bersih mereka, isu ESG dan para pelabur beralih ke saham yang bakal berkembang pasca COVID-19.
“Tambahan kepada pengeluar sarung tangan Malaysia, kami juga sedar terdapat kapasiti baharu datang dari pelan pengembangan agresif oleh pembuat sarung tangan terbesar Thailand, Sri Trang Gloves dan dua syarikat tersenarai di China iaitu Intco Medical dan Blue Sail.
“Kami menjangkakan kapasiti daripada ketiga-tiga pemain industri ini akan berkembang sebanyak 198% kepada 152 bilion unit pada penghujung tahun 2023 daripada 51 bilion setakat penghujung 2020,” tambah CGS-CIMB.
Peningkatan purata harga jualan (ASP) sarung tangan tidak dinafikan telah menarik perhatian pemain industri baharu dan sedia ada, namun situasi ini dibimbangi akan memberi lebih tekanan kepada dinamik bekalan dan permintaan secara keseluruhannya.
CGS-CIMB percaya pemain-pemain industri baharu sanggup menawarkan harga lebih rendah daripada syarikat pengeluar sarung tangan sedia ada yang kelak bakal mencetuskan perang harga dalam sektor itu.
Namun, firma itu menjangkakan syarikat pengeluar sarung tangan di bawah liputannya mempunyai keupayaan untuk mengubah suai pelan pengembangan mereka berdasarkan persekitaran operasi semasa. - DagangNews.com