Pertumbuhan pinjaman yang perlahan beri risiko penurunan kepada RHB | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pinjaman yang perlahan beri risiko penurunan kepada RHB

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. -  Kelembapan dalam pertumbuhan pinjaman RHB Bank dilihat memberi risiko penurunan kepada saranan yang diberikan oleh firma penganalisis CGSCIMB.

CGS CIMB dalam nota kajiannya berkata, pihaknya mengekalkan saranan 'Tambah' kepada saham-saham RHB Bank namun perkara seperti kemerosotan material dalam kualiti aset dan lonjakan dalam kerugian pinjaman pada tahun kewangan 2021 berpotensi memberi risiko penurunan kepada RHB.

Bagaimanapun, firma penganalisis positif terhadap pertumbuhan RHB Bank disokong oleh pengukuhan perbankan digitalnya.

"Pada 28 Sep 2021, RHB Bank mengadakan Hari Digital berasaskan web untuk penganalisis dan pengurus dana. Kami lebih positif terhadap bank kerana semasa acara tersebut, RHB telah berkongsi mengenai kemajuan dan sasarannya dalam perniagaan perbankan digital tahun kewangan 2023," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini

Peratusan transaksi perbankan digital RHB Bank meningkat daripadai 45.9% pada tahun kewangan 2017 kepada 85% pada lapan bulan pertama tahun kewangan 2021.

Tambahan pula, bahagian perniagaan baharu yang dihasilkan dari platform digital meningkat dari 0.6% pada tahun 2017 menjadi 25% pada tahun 2021, mewakili CAGR 4 tahun sebanyak 154%.

Perkembangan perniagaan perbankan digital juga membantu kumpulan mencapai kecekapan operasi yang lebih tinggi, dengan penurunan nisbah kos-ke-pendapatan dari 50% pada 2017 hingga 45% pada separuh pertama 2021

"Pada pandangan kami, RHB Bank adalah salah satu pemain paling serius dalam ruang perbankan digital. Ini harus menolong mengekalkan daya saingnya di sektor ini, yang akan mendukung pertumbuhan pinjaman, deposit kos rendah dan pendapatan yuran," katanya. -DagangNews.com