Pertumbuhan Positif Petanda Jelas Asas Makro Ekonomi Malaysia  Kekal Berdaya Tahan – Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan Positif Petanda Jelas Asas Makro Ekonomi Malaysia  Kekal Berdaya Tahan – Pakar Ekonomi

Seorang tukang masak menyediakan juadah di sebuah gerai di Wang Maju, Kuala Lumpur. - Gambar oleh Kishor
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 16 Feb – Pertumbuhan positif Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada Suku Keempat 2021 membuktikan bahawa asas makroekonomi kekal berdaya tahan dan pertumbuhan ekonomi berada pada landasan yang betul, kata Ketua Ahli Ekonomi Global, Juwai IQI, Shan Saeed.

 

Katanya,  penghargaan penuh harus diberikan kepada kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakub.

 

“Penghargaan harus juga diberikan kepada semua pihak berkepentingan kerana berusaha gigih seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)  dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengekalkan momentum pertumbuhan demi mencapai angka KDNK yang kukuh.

 

“Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah memainkan peranannya dengan berkesan dalam memberikan hasil yang positif dalam memenuhi mandatnya bagi menstabilkan kadar inflasi, pasaran kewangan dan pertumbuhan,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang prestasi ekonomi Malaysia bagi suku keempat 2021 yang diumumkan baru-baru ini.

 

 

Shan Saeed
                                             Shan Saeed

 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata walaupun berhadapan dengan ancaman varian Omicron serta bencana banjir di Lembah Klang dan beberapa negeri lain pada Disember 2021, KDNK Malaysia meningkat sebanyak 3.6% pada suku keempat 2021 (S4 2021), berbanding penguncupan sebanyak 3.4% pada tempoh yang sama tahun lalu.

 

Pertumbuhan KDNK bulanan kembali positif sepanjang S4 2021.

 

Momentum pemulihan KDNK terus mencatat pertumbuhan sebanyak 2.6% pada bulan Disember, susulan pertumbuhan yang memberangsangkan pada bulan November sebanyak 5.4%, dan 2.7% pada Oktober 2021.

 

Menurut Shan, secara keseluruhan, kami (Juwai IQI) menjangkakan ekonomi berkembang antara 3 dan 4% pada 2021 yang sejajar dengan ramalan kami untuk tahun yang diumumkan oleh BNM.

 

 

Abdul Mui'zz Morhalim
                             Abdul Mui'zz Morhalim

 

 

Sementara itu, mengulas perkara yang sama, Ahli Ekonomi, MIDF Research, Abdul Mui'zz Morhalim berkata, peningkatan dalam pertumbuhan KDNK pada 4Q21 telah dijangkakan kerana kelonggaran yang diberikan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

 

Katanya, lantunan pertumbuhan KDNK kepada +3.6% tahun ke tahun (YOY) pada 4Q21 menunjukkan bahawa ekonomi kembali ke laluan pemulihan, disokong oleh perbelanjaan yang lebih tinggi daripada kedua-dua sektor swasta dan awam serta pertumbuhan kukuh dalam permintaan luar.

 

 Walau bagaimanapun, Abdul Mui'zz menegaskan kelemahan dalam aktiviti pelaburan menjelaskan sebab angka KDNK rasmi adalah lebih rendah daripada jangkaan MIDF.

 

Namun begitu, katanya, pemulihan boleh dicapai berikutan peningkatan kesihatan awam yang membolehkan kerajaan membuka semula ekonomi.

 

“Terima kasih kepada langkah-langkah pembendungan yang lebih awal dan kemajuan yang menggalakkan dalam pentadbiran vaksin, jumlah jangkitan COVID-19 baharu mula menurun daripada paras tertinggi pada penghujung Ogos 2021.

 

“Untuk tahun ini, kami mengunjurkan bahawa prospek pertumbuhan akan lebih cerah daripada tahun lepas,” katanya.

 

 

klia
MIDF ramai ekonomi berkembang 6% tahun ini. Gambar oleh Izuddin Helmi Adnan 

 

 

Abdul Mui'zz berkata MIDF meramalkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada +6%, lebih kukuh daripada pertumbuhan +3.1% pada 2021.

 

“Ini akan disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, terutamanya perbelanjaan pengguna dan aktiviti perniagaan yang lebih tinggi. Permintaan luar yang semakin meningkat juga akan menyokong tinjauan eksport tahun ini, disokong oleh permintaan kukuh untuk produk elektrik dan elektronik (E&E) dan komoditi seperti minyak sawit dan produk petroleum, “ ujarnya.

 

Walaupun terdapat peningkatan baru-baru ini dalam jangkitan COVID-19, Abdul Mui'zz berkata, jangkitan Omicron nampaknya kurang teruk.

 

“Oleh itu, kami berpendapat kerajaan tidak akan mengenakan semula satu lagi pusingan langkah pembendungan ketat yang akan menjejaskan aktiviti ekonomi domestik,” katanya.

 

Namun begitu, menurut beliau, krisis kesihatan yang berterusan kekal sebagai salah satu risiko penurunan kepada prospek pertumbuhan tahun ini kerana sekatan ketat mungkin perlu dikenakan semula jika keadaan kesihatan awam merosot dengan cepat disebabkan varian baharu.

 

“Risiko lain mungkin datang daripada inflasi yang tinggi, penambahbaikan yang tertunda dalam rantaian bekalan global dan permintaan luaran yang berpotensi lebih lemah akibat kelembapan di China,” tegas Abdul Mui'zz. – DagangNews.com

 

Photo by Kishor on Unsplash