Pertumbuhan sektor hartanah diunjur sederhana pada 2024, HLIB kekalkan penarafan ‘neutral’ | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan sektor hartanah diunjur sederhana pada 2024, HLIB kekalkan penarafan ‘neutral’

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor hartanah memandangkan ia menjangkakan pertumbuhan sektor sederhana pada 2024 selepas peningkatan yang dinikmati pada 2023 berkurangan.

 

Jelasnya, ini berdasarkan kadar pengebilan yang kembali normal dan pertumbuhan sederhana pelancaran dan jualan baharu pada tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata sektor hartanah menyerlah sebagai sektor kedua berprestasi terbaik di Bursa Malaysia pada 2023 apabila Indeks Hartanah KL mencatat pulangan memberangsangkan sebanyak 34.5%, berbanding kerugian FBM KLCI pada 2.7%.

 

Menurut firma itu, penarafan semula sektor itu pada 2023 adalah disebabkan pembetulan kesilapan harga sektor terdahulu dan pemulihan sektor yang dirangsang oleh faktor sementara.

 

“Selain itu, sektor ini melonjak tiga kali ganda disebabkan oleh pendapatan lebih kukuh susulan pengebilan dipercepatkan; jualan lebih tinggi kerana terdapat lebih banyak produk baharu dalam pasaran utama; dan pelancaran lebih tinggi setelah situasi bekalan bertambah baik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, HLIB percaya bahawa pemangkin pertumbuhan yang dinikmati dalam 2023 dijangka berkurangan tahun ini, terutamanya kemajuan pengebilan yang mungkin berkurangan dan kembali normal pada 2024 selepas ia dipercepatkan tahun lalu kerana pemaju hendak mengelak pembayaran ganti rugi pasti (LAD).

 

Di samping itu, HLIB berpendapat bahawa sebahagian jualan yang lebih tinggi pada 2023 didorong oleh beberapa pembeli beralih daripada pasaran sekunder ke pasaran utama kerana lebih banyak produk baharu tersedia.

 

“Memandangkan pemaju telah meningkatkan pelancaran dengan ketara dalam pasaran domestik pada 2023, produk ini akan mengambil sedikit masa untuk diserap oleh pasaran. Oleh itu, pemaju tidak mungkin meningkatkan pelancaran mereka dengan ketara pada 2024,” katanya.

 

Meskipun ia ‘neutral’ terhadap sektor hartanah, firma tersebut mengenal pasti beberapa saham di bawah liputannya berpotensi untuk mengatasi prestasi.

 

Firma itu menyarankan pelabur ‘beli’ saham Sunway Bhd, OSK Holdings Bhd, Sime Darby Property Bhd, dan IOI Properties Group Bhd dengan harga sasaran (TP) masing-masing pada RM2.76, RM1.77, 81 sen dan RM2.50.  - DagangNews.com