KUALA LUMPUR 5 Okt - Sistem kewangan Islam di Malaysia masih belum merealisasikan sepenuhnya potensi kewangan berasaskan nilai dalam memenuhi keperluan ekonomi dan sosial kontemporari.
Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, banyak institusi kewangan, konvensional dan Islam masih belum melakukan perubahan penting ke atas cara mereka beroperasi dan menjalankan perniagaan untuk menyampaikan sepenuhnya kewangan berasaskan nilai.
Katanya, negara juga masih belum memanfaatkan sepenuhnya rangkaian penuh kontrak syariah dalam aplikasi kewangan hari ini.
Ia termasuklah kontrak kebajikan, kontrak perkongsian risiko dan kontrak berasaskan aset lain masih belum digunakan sepenuhnya untuk menawarkan spektrum pembiayaan, pelaburan dan penyelesaian perlindungan yang lebih luas.
"Namun, perubahan kepada cara kewangan Islam beroperasi tidak boleh berlaku dalam sekelip mata.
"Apa yang industri lakukan hari ini akan menjadi penting dalam menghidupkan nilai asas kewangan Islam, dan menunjukkan bagaimana ia relevan untuk menangani cabaran kontemporari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2022 hari ini bertemakan 'Take The Reins'
Forum itu yang dihadiri lebih 1,000 peserta antarabangsa dan tempatan dari 35 buah negara memberi fokus kepada perkembangan baharu dalam kewangan Islam seperti fintech dan pendigitalan, innovasi berteraskan nilai serta peluang pada peringkat global untuk industri kewangan Islam bagi menggalakkan pertumbuhan yang seimbang, inklusif dan mampan.
Nor Shamsiah berkata, lima tahun sejak pelancaran inisiatif perantaraan berasaskan nilai (VBI) pada 2017, kebanyakan komuniti pengamal hanya berada di fasa pelaksanaan 'permulaan'.
"Sedangkan usaha untuk mempelbagaikan modal berasaskan nilai seperti membiayai usaha niaga baharu dan hasil sejajar VBI yang lain, masih jauh daripada realisasi sepenuhnya.
"Hanya 4.2% daripada akaun pelaburan di antara bank Islam bersesuaian untuk membiayai transformasi, seperti membekalkan modal pertumbuhan kepada industri masa depan atau model perniagaan baharu," jelasnya.
Sehubungan itu, tegasnya, dalam usaha memartabatkan nilai kewangan Islam ke peringkat yang lebih tinggi, industri mesti berusaha mencontohi nilai ihsan, terus berusaha ke arah mencapai kecemerlangan.
Pada forum berkenaan, BNM dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) turut mengumumkan penubuhan Majlis Kepimpinan Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) bagi memperkukuh kedudukan negara sebagai pasaran global dan gerbang antarabangsa bagi kewangan Islam.
Majlis Kepimpinan MIFC dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan industri ke arah memupuk idea baharu, memperdalam dan mempelbagaikan hubungan strategik dengan rakan kerjasama antarabangsa dan mengukuhkan lagi advokasi global MIFC.
Tan Sri Azman Mokhtar akan mengetuai majlis tersebut sebagai pengerusi dan ahli-ahlinya terdiri daripada tokoh industri tempatan dan antarabangsa yang terkemuka berserta wakil daripada BNM
dan SC.
Ahli Majlis dilantik untuk tempoh tiga tahun dan akan berpandukan pelan pembangunan strategik negara, termasuk Pelan Sektor Kewangan BNM 2022 – 2026 dan Pelan Induk Pasaran Modal 3 (CMP3) SC.
Dalam melaksanakan mandatnya, majlis tersebut akan memanfaatkan kepakaran dan bekerjasama dengan pakar kewangan, korporat dan ahli akademik serta pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan, untuk memajukan bidang kepentingan bersama dan menyokong perbincangan inisiatif industri. - DagangNews.com