KUALA LUMPUR 29 Mac - Perubahan strategi perniagaan MyNews Holdings Bhd dijangka membantu memacu jualan serta margin kumpulan pada masa akan datang.
RHB Investment berkata, penyatuan pengurusan MyNews dan CU membawa kepada peningkatan jualan dan margin yang lebih baik.
"Pengembangan jenama MyNews ditambah dengan pengurangan kerugian CU dan jangkaan pusat pemprosesan makanan (FPC) mencatatkan pulangan modal akan mengekalkan usaha pemulihan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu melaporkan untung bersih sebanyak RM1.27 juta bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2024 (1QFY24) disokong pemulihan ketara berbanding rugi bersih RM3.2 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya, dipacu pertumbuhan jualan kukuh.
Hasil suku tahunan melonjak 6% tahun ke tahun kepada RM195.52 juta, meningkat daripada RM184.09 juta sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mencatatkan keuntungan antara RM24 juta hingga RM29 juta sebelum pandemik tetapi pengenalan CU pada 2021 mengakibatkan kerugian berterusan sepanjang tempoh tunggu hasilnya.
Katanya, sepanjang tempoh tiga tahun, pengusaha kedai serbaneka itu telah belajar daripada kesilapannya dan menyesuaikan strategi baharu.
"Keadaan itu mencatatkan peningkatan untung kasar memandangkan manfaat daripada usaha sinergi serta penjimatan kos disebabkan skala gabungan lebih besar selain turut menyumbang kepada jualan yang lebih kukuh melalui pelbagai produk yang lebih baik.
"Kami menjangkakan pesaing terdekat CU iaitu FamilyMart, mengambil masa tiga tahun untuk pulang modal," katanya.
RHB Investment menjangkakan keuntungan akan kembali ke tahap seperti sebelum pandemik pada FY25 untuk MyNews, dengan CU akan pulang modal menjelang akhir 2024.
Firma itu mengekalkan panggilan "Beli" ke atas syarikat itu dengan harga sasaran 68 sen. - DagangNews.com