Peruntukan Geran Khas Prihatin, Program Subsidi Upah ditambah - PM | DagangNews Skip to main content

Peruntukan Geran Khas Prihatin, Program Subsidi Upah ditambah - PM

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro, kerajaan bersetuju untuk menyediakan bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM500 kepada penerima yang layak. 

 

Bayaran tambahan itu akan dibuat pada bulan September dan sebanyak RM500 lagi pada bulan November 2021, menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

GKP

 

“Kerajaan berharap dengan bayaran GKP 4.0 ini, kira-kira 1 juta usahawan PKS mikro khususnya pengusaha kedai gunting rambut, pemilik workshop, kedai roti dan kek, pusat penjagaan kesihatan, dan lain-lain dapat mengurangkan tanggungan bulanan dan membantu aliran tunai mereka, Insya-Allah. 

 

“Apa yang penting, kepada usahawan mikro yang masih belum pernah mendapat bantuan ini, pendaftaran akan mula dibuka pada pertengahan Julai nanti,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), hari ini.

 

Sementara itu, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja, ujar Muhyiddin.

 

PSU

 

Melalui inisiatif PSU 4.0, Muhyiddin berkata, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja selama tempoh empat bulan.

 

Ini menyaksikan tanggungan dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor-sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti.

 

“Jika sebelum ini, pelaksanaan PSU disyaratkan dengan had gaji di bawah RM4 ribu, sukacita saya umumkan bahawa di bawah PSU 4.0, tiada lagi syarat had gaji ditetapkan.

 

“Ini bermakna, majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih RM4 ribu,” katanya lagi.

 

Selanjutnya, pengecualian levi HRD Corp bagi tempoh dua bulan akan diberi secara automatik kepada majikan yang tidak dapat beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

 

Selain itu, majikan daripada sektor-sektor yang baharu dirangkumi ekoran peluasan Akta Perbadanan Sumber Manusia Berhad 2001 akan diberikan pelanjutan pengecualian levi sehingga 31 Disember 2021. 

 

Pemulih

 

Inisiatif ini dianggarkan bernilai sebanyak RM425 juta, jelas Muhyiddin. 

 

Dalam pada itu, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan program PenjanaKerjaya dan dijenamakan sebagai PenjanaKerjaya 3.0 dengan beberapa penambahbaikan. 

 

PenjanaKerjaya

 

Ini antaranya mengurangkan had kelayakan gaji daripada RM1,500 kepada RM1,200 untuk program Malaysianisation supaya memberi lebih dorongan kepada majikan untuk mengganti pekerja asing dengan pekerja tempatan. 

 

Selain itu, tempoh kontrak penggajian juga akan dilonggarkan daripada 12 bulan kepada enam bulan bagi kategori pekerja berusia 50 tahun ke atas, golongan orang kurang upaya (OKU) dan bekas banduan. - DagangNews.com