Peruntukan KKM meningkat kepada RM41.2 bilion menerusi Belanjawan 2024 | DagangNews Skip to main content

Peruntukan KKM meningkat kepada RM41.2 bilion menerusi Belanjawan 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan memeperuntukkan sejumlah RM41.2 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Belanjawan 2024 berbanding RM36.3 bilion dalam belanjawan lalu.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM5.5 bilion daripadanya diperuntukan bagi bekalan ubat, bahan guna habis dan vaksin.

 

Beliau berkata, pada tahun hadapan, beberapa projek pembangunan baharu akan mula dilaksanakan termasuk Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos RM938 juta selain kerja awalan bagi Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2,  Johor Bahru dan blok Patologi Tambahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dengan kos RM175 juta.

 

Selain itu, antara projek lain yang akan dilaksanakan termasuk pembinaan bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) serta lima klinik kesihatan baharu antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan, Jerantut, Pahang; Kuala Jengal, Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah dengan kos RM150 juta. 

 

"Kerajaan turut menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan sebuah Institut Kanser di Sarawak. 

 

madani

 

"Bagi terus mengawal kesesakan di hospital KKM, Kerajaan juga akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan menyumber luar pesakit ke hospital lain termasuklah hospital tentera, universiti dan swasta dengan peruntukan RM200 juta," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, sejumlah RM300 juta disediakan bagi membaik pulih 400 buah klinik uzur yang masih punyai struktur kayu dan pendawaian usang.

 

Beliau berkata, sejumlah RM766 juta ringgit disediakan untuk perolehan peralatan perubatan di hospital KKM bagi menggantikan peralatan yang mencecah Beyond Economic Repair (BER) di samping memenuhi keperluan pelbagai disiplin perkhidmatan baharu termasuk RM 200 juta untuk perolehan bagi memastikan kesiagaan perkhidmatan kesihatan dalam memberi respons kepada panggilan kecemasan.

 

"Hanya 3% klinik kesihatan negara dilengkapi rekod kesihatan digital. Rekod digital amat penting bagi mewujudkan capaian data pesakit dengan pantas dan boleh dikongsi dengan semua prasarana kesihatan kerjaan.

 

"Kerajaan menyediakan RM150 juta bagi menyenggara sistem teknologi maklumat di bawah KKM termasuk menyediakan Clinic Management System Subscription (CCMS) di 100 klinik kesihatan," katanya. - DagangNews.com