Peruntukan RM15 juta: Peluang CENDANA bantu penggiat seni terjejas COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Peruntukan RM15 juta: Peluang CENDANA bantu penggiat seni terjejas COVID-19

Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Peruntukan sebanyak RM15 juta yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2021 jelas memberi khabar gembira kepada seluruh penggiat dan pengurusan seni negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA), Izan Satrina Mohd. Sallehuddin berkata, peruntukan tersebut memberi keyakinan kepada pihaknya dalam menyalurkan bantuan dan sokongan kritikal kepada penggiat seni negara.

"Kami amat berbesar hati dengan pengumuman RM15 juta bagi tujuan pendanaan bagi tahun 2021. Ia adalah sebuah pengumuman yang amat menggalakkan bagi sektor Seni & Budaya sekali gus menunjukkan kerajaan Malaysia amat
prihatin tentang kepentingan, peranan Seni & Budaya.

"Peruntukan sebanyak RM15 juta ini memberikan CENDANA keyakinan untuk terus maju ke hadapan dalam menyalurkan bantuan dan sokongan kritikal kepada golongan penggiat Seni & Budaya terutamanya dalam sektor seni persembahan, seni visual, muzik independen dan kraf.

"Ini membolehkan  penggiat seni, pekerja budaya, kolektif dan organisasi seni sama ada di studio, di pentas mahupun di jalanan, untuk meneruskan operasi dan mencipta karya seni yang terbaik seterusnya memberi peluang kepada khalayak ramai untuk menikmati dan menghayati pengalaman seni yang berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Belanjawan 2021

 

Dalam Belanjawan 2021, RM15 juta diperuntukkan kepada program kesenian dan kebudayaan melalui CENDANA yang akan memanfaatkan seramai 5,000 penggiat seni negara.

Mengulas lanjut, Izan Satrina memberitahu, berdasarkan  soal selidik yang dijalankan baru-baru ini, ramai golongan artis dan penggiat seni terjejas dan menerima tempias negatif akibat COVID-19.

"Sebanyak 93% daripada golongan artis dan pekerja seni & budaya di Malaysia telah terkesan secara negatif oleh COVID-19, 70% daripada mereka hampir atau hilang punca pendapatan sepenuhnya.

"Kami ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Komunikasi dan Multimedia  terhadap dedikasi mereka dalam mengetengahkan keperluan sektor ini pada hari ini," tambahnya lagi.

CENDANA ditubuhkan pada September 2017 bagi membentuk ekonomi seni budaya yang megah, mampan dan bercita-cita tinggi untuk Malaysia di samping meningkatkan profil seni budaya Malaysia dalam merangka identiti Malaysia sebagai
destinasi seni yang strategik di peringkat global. - DagangNews.com