Pesara TLDM muncul naib juara pertandingan menembak IPSC di Indonesia | DagangNews Skip to main content

Pesara TLDM muncul naib juara pertandingan menembak IPSC di Indonesia

Zul-Majdi Saari (dua dari kiri) memenangi tempat kedua pertandingan menembak IPSC di Makassar, Indonesia.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Jun - Berbekalkan pengalaman 12 tahun menembak semasa berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Zul-Majdi Saari, 41, muncul naib juara pertandingan Konfiderasi Menembak Praktikal Antarabangsa (IPSC) Kejuaraan Tembak Reaksi Level 2 sempena ulang tahun Polis Bhayangkara ke-76 di Makassar, Indonesia. 

 

Zul-Majdi menerima jemputan dari Polis Bhayangkara untuk mewakili Johor Clay Target Shooting Association (JCTSA) dan IPSC Malaysia dalam pertandingan yang berlangsung dari 16 hingga 19 Jun 2022. 

 

Beliau berkata, ia adalah pertandingan luar negara pertama yang disertainya selepas bersara daripada TLDM.

 

"Saya tidak menyangka akan menduduki tempat kedua kerana sudah dua tahun saya tidak menjalani latihan menembak secara intensif sejak bersara pada tahun 2020 dan pendemik COVID-19 melanda. Saya hanya melakukan latihan kecergasan, berlari dan berbasikal setiap hari untuk persiapan pertandingan kali ini,” katanya. 

 

Beliau berkata, pertandingan di Indonesia sangat mencabar kerana peserta di sana lebih terdedah dan kerap menyertai pertandingan menembak berbanding di Malaysia. 

 

Menurut Zul-Majdi, teknik menembak dan keyakinan diri yang tinggi sangat penting untuk menyertai acara menembak IPSC. 

 

“Minat yang mendalam dalam acara IPSC membuatkan saya tidak berkira untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk kembali aktif menembak walaupun di luar negara,” jelasnya. 

 

 

ipsc

 

 

Kehadiran Zul-Majdi dalam pertandingan di Indonesia kali ini memberikan saingan hebat kepada peserta yang terdiri daripada lebih 500 anggota polis dan orang awam di sana.  

 

“Cabaran utama menyertai pertandingan menembak luar negara adalah mengendalikan senjata yang disewa dengan selamat. Saya tidak memiliki senjata sendiri dan perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa senjata dengan cepat,” katanya.

 

Katanya, teknik dan senjata yang baik turut menjadi faktor utama dalam membidik sasaran dengan tepat. Zul-Majdi menjadikan dua penembak Rusia, Maria Gushchina dan Eric Grauffel sebagai rujukan teknik menembak. 

 

Zul-Majdi merupakan bekas atlit menembak TLDM sejak 2010 hingga 2020 dan sering menjuarai pertandingan menambak IPSC dalam negara bagi kategori Production. 

 

Selepas menamatkan perkhidmatan bersama TLDM, beliau menyertai Johor Clay Target Shooting Association (JCTSA) bagi terus bergiat aktif dalam acara menembak IPSC. Selain itu, beliau sering mendapat jemputan dari agensi kerajaan dan badan beruniform sebagai jurulatih menembak IPSC. - DagangNews.com