Pesawah tak perlu risau, bekalan benih padi cukup - Jabatan Pertanian | DagangNews Skip to main content

Pesawah tak perlu risau, bekalan benih padi cukup - Jabatan Pertanian

benih padi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 23 April - Pesawah di negara ini dinasihatkan tidak perlu risau tentang bekalan benih padi.

 

Jabatan Pertanian memberitahu, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan benih padi yang disahkan mengikut kualiti piawaian yang ditetapkan bagi menjamin pesawah mendapat bekalan benih padi yang berkualiti.

 

Jelas jabatan itu, sehingga 19 April 2021 sebanyak 26,353.32 metrik tan (t) benih padi telah disahkan oleh pihaknya. 

 

"Kuantiti ini adalah mencukupi bagi keperluan pesawah seluruh negara sehingga akhir bulan April 2021. Ini termasuklah keperluan pesawah padi di Negeri Kedah dan Perlis.

 

"Pengesahan benih padi sedang rancak dijalankan oleh pegawai-pegawai di Jabatan Pertanian dan kuantiti benih padi yang akan disahkan pada musim penanaman 1/2021 ini dijangka melebihi daripada 36,000t.

 

"Ianya melebihi daripada keperluan pada musim sekarang. Oleh yang demikian, pesawah adalah dinasihatkan supaya tidak perlu risau tentang kecukupan bekalan benih padi," jelas Jabatan Pertanian dalam satu kenyataan.

 

Baru-baru ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH) mendakwa berlaku masalah kelewatan benih padi sah sehingga menjejaskan musim tanaman baharu ke atas sebahagian besar petani.

 

Dakwaan tersebut memberitahu bahawa pengedar tunggal benih padi iaitu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) masih gagal membekalkan benih padi sah ke sebahagian besar kawasan tanaman di semenanjung.

 

Mengulas berkaitan dengan tahap permintaan yang tinggi bagi varieti MR 297, Jabatan Pertanian memberitahu, perkara tersebut menyebabkan varieti berkenaan tidak mencukupi.

 

Bagaimanapun, masih ada varieti lain yang mempunyai kualiti setanding dengan varieti MR 297.

 

"Jabatan Pertanian telah meluluskan sebanyak sembilan (9) lagi varieti benih padi lain iaitu MR 219, MR 220 CL2, UKMRC-2, UKMRC-8, MR 269, MR 303, MR 307, MRQ76 dan MR 263. 

 

"Oleh itu, diharapkan pesawah dapat memilih dan bersedia untuk menanam varieti lain selain MR 297, yang mampu memberi hasil yang tinggi," ujar jabatan itu lagi.

 

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian turut menasihatkan pesawah agar tidak membeli benih padi yang tidak mendapat pengesahan daripada pihaknya atau dikenali sebagai ‘Beg Putih’.

 

Jelasnya, penggunaan benih padi ‘Beg Putih’ tersebut dikhuatiri boleh menyebabkan berlakunya isu berkaitan masalah padi angin, penyakit dan perosak yang boleh menjejaskan kualiti serta industri padi negara. - DagangNews.com