Pesawat ringan L 410 NG buatan Republik Czech intai peluang di Malaysia  | DagangNews Skip to main content

Pesawat ringan L 410 NG buatan Republik Czech intai peluang di Malaysia 

oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 5 Dis - Firma Aircraft Industries dari Republik Czech sedang mengintai peluang untuk memasarkan pesawat ringan buatan negara itu, L 410 NG (New Generation) di negara ini.

 

Pesawat enjin berkembar ini merupakan versi terbaharu yang dimajukan daripada model sebelumnya iaitu L 410 UVP-E20.

 

Ia menggunakan enjin jenis GE H85-200 yang lebih berkuasa untuk memacu pesawat pada kelajuan 417 kilometer (km) sejam dengan jarak penerbangan maksimum 2,570km.

 

Bulan lalu pesawat ini telah singgah di Kuala Lumpur bagi memperkenalkan pesawat kepada pihak berminat selepas terlibat pada pameran Indo Defence 2022 di Jakarta, Indonesia.

 

Difahamkan satu sesi penerangan dan pengenalan pesawat telah dilaksanakan kepada pihak Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PGU PDRM).

 

belon
L 410 NG merupakan pesawat ringan yang juga boleh diperanankan bagi tugas pasukan keselamatan.

 

Pesawat ini dilihat boleh memenuhi keperluan PGU PDRM terutama untuk tugasan utiliti dan rondaan udara di kawasan-kawasan terpencil termasuk Sabah Sarawak.

 

Ini kerana sejak lapan tahun lalu ada keperluan  menempatkan pesawat ringan untuk operasi di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

 

Ketika ini PGU PDRM menggunakan pesawat seperti Cessna 208 Caravan I, Pilatus Porter PC-6 B2H4 dan Beechcraft King Air 350 pada jumlah yang terhad.

 

Selain tujuan perhubungan dan pengangkutan, PGU PDRM juga menggunakan pesawat udara dalam latihan terjun payung dan operasi-operasi penyusupan udara taktikal.

 

belon
Sesi pengenalan pesawat L 41 NG yang dilakukan kepada pihak PGU PDRM.

 

Sebagai pesawat ringan, L 410 NG boleh mendarat di landasan pendek dan sesuai digunakan bagi penerbangan jarak dekat atau operasi taktikal.

 

Pesawat yang boleh memuatkan 19 penumpang atau kira-kira 2.5 tan kargo ini juga mempunyai tanjakan pada bahagian belakang bagi memudahkan proses keluar masuk barang. 

 

Pada pameran Indo Defence 2022 lalu, pihak Aircraft Industries telah memeterai memorandum persefahaman untuk membekalkan pesawat kepada tiga syarikat penerbangan republik itu.

 

Sebanyak 17 pesawat dirancang sesuai dengan keperluan industri penerbangan negara kepulauan tersebut. - DagangNews.com